Saturday, July 08, 2006

EKSPERIMEN 5-S (Sport, Song, Screen, Sex, Smoke)


Tidak sampai 12 jam selepas Korea Utara memulakan ujian peluru berpandunya (Rodong dan Taepodong-2)yang mempunyai keupayaan membawa senjata nuklear dan mampu menyerang sehingga pantai barat AS, Jepun yang begitu bimbang dengan perkembangan tersebut (ekoran kedudukan geografinya yang begitu hampir dengan Korea Utara) telah berjaya mengheret Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengadakan persidangan tergempar bagi membincangkan perkara tersebut. Dan setakat ini hanya Jepun yang mengambil keputusan untuk menangguhkan sebarang bantuan perdagangan berdasarkan dari persetujuan proses Rundingan Enam Negara yang merangkumi AS, China, Jepun, Korea Utara, Korea Selatan dan Rusia. China dan Rusia masih memilih jalan diplomasi.

Tapi lain pula halnya dengan apa yang berlaku di Palestin. Segala kezaliman, kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh Rejim Israel terhadap umat Islam masih gagal untuk mengheret kuasa-kuasa besar itu melakukan sesuatu.

Dan sehingga kini, ketika dunia termasuklah umat Islam sendiri leka dan sedang asyik berpesta dengan Samba-Kick Piala Dunia, Israel pula masih dan sedang berpesta dengan darah dan nyawa saudara-saudara seagama kita di Palestin.

Masih ingatkah anda dengan Eksperimen 5-S? Mereka menjadi saintisnya dan kita menjadi tikus-tikus putih yang malang itu. Alangkah!
Tidak dapat kutangkap
cuaca apakah yang bermusim
di mukim hatimu.

Aku datang dari jauh
ingin merapatkan lantai ramah
yang kian terbelah.

Andainya musim bunga yang kau tatang
tidak sia-sia aku datang
banyak kelopak waktu yang terlerai
perlu kita cantumkan semula
andainya tengkujuh masih menyambut
ternyatalah kematangan usia
tiada memberikan warna berbeza
kau masih juga benua tak terduga
cuaca tak menentu sepanjang masa.

Abizai
Dewan Sastera Julai' 06.

Thursday, July 06, 2006

PILIHLAH- MAHU UNTUNG ATAU RUGI?

Semalam saya mendapat panggilan telefon daripada Ustazah Fuziah Sani (pengetua Sek. Men. Keb. Agama (P) ketika saya berada dalam menengah rendah di sana ketika itu). Beliau mengajak saya menziarahi seorang adik berusia 16 tahun yang sedang berjuang melawan kanser tiroid. Saya menyatakan persetujuan kerana memang sewaktu sakit dulu saya pernah berazam dan berjanji kepada diri sendiri, andai saya sudah sembuh, saya akan berkongsi pengalaman dan ingin berbakti kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

Dan hari ini, saya, Ustazah Fuziah dan Ain (puteri ustazah, juga sahabat saya) ke rumah adik Husna, pelajar tingkatan 4, Sek. Men. Keb Agama (P) Kangar.

Alhamdulillah, penerimaannya baik dan daripada kaca matanya, terpancar semangat dan ketabahan yang menyala-nyala. Alhamdulillah, dia tidak menjadi gadis yang murung dan bersedih dengan dugaan yang dihadapinya. Sungguh! Di wajahnya terpancar cahaya keberanian dan kecekalan. Dalam hati, saya berkata- ini suatu petanda yang baik!

Insya Allah, saya yakin dan percaya, semangat, ketabahan dan kesabaran itulah selain daripada keyakinan yang tinggi kepada Allah yang Maha Penyembuh, bakal memberikan kekuatan kepadanya serta ibu dan ayahnya untuk terus sabar dan tabah menghadapi ujian Allah ini. Mudah-mudahan.

Teringat kata-kata abah kepada saya- Pengalaman itu meski manis atau pahit, setiap satunya menjadi pedoman hidup, dan pengalaman-pengalaman inilah yang sedang mengisi setiap sudut kehidupan kita di dunia ini. Kesusahan, kesukaran dan kesakitan semuanya adalah pengalaman yang mematangkan. Setiap daripada ada ganjaran di sisi Allah.

Sama ada kita inginkan keuntungan dan ganjaran syurga daripadanya dengan redho dan sabar atau kita hanya ingin rugi dan pulang ke akhirat dengan tangan kosong sahaja dan hanya mendapat kesakitan percuma dengan mengeluh atau menyalahkan Tuhan, pilihannya ada di tangan kita.

Pilihlah- mahu untung atau rugi?
ADUH KECEWA!

Dua anekdot di bawah ini sangat mengecewakan . Lebih kecewa daripada kecewa putus cinta :D



1.
Ketika Lutfi Ishak dengan nada bersungguh-sungguh bercerita kepada saya tentang pengguguran Faisal Tehrani daripada menjadi pembimbing MASTERA, sungguh saya terkejut dan ternyata berita itu amat mengecewakan. Lebih-lebih lagi apabila saya mengetahui tempat beliau itu digantikan dengan seorang penulis novel remaja yang glamornya ya, saya tak nafikan sangat glamour dan fofular di kalangan adik-adik di peringkat menengah yang sedang asyik masyuk dengan cinta, malahan mungkin budak-budak U yang kononnya berIQ pun suka dengan tulisannya yang menggunakan laras bahasa yang sempoi, ceritanya yang membelai jiwa dan perasaan, takderlah nak berat-berat kepala baca cerita Faisal Tehrani- pasal tasawwuflah, sufilah, pasal Melaka dan Nyemah Mulya macam dalam 1515, pasal Sultan Allauddin lah, kutuk AF dan hiburan macam dalam Advencer Si Peniup Ney, pasal tauhidlah macam dalam Tunggu Teduh Dulu.

Setelah perkara ini berlaku (pengguguran Faisal Tehrani sebagai pembimbing MASTERA), saya sudah jadi keliru dan buntu memikirkan entah kriteria apa dan bagaimana yang harus ada pada seseorang yang ingin dihantar sebagai pembimbing MASTERA itu sendiri.

Saya mengenali abang Faisal sebagai seorang sifu@hoca untuk penulis-penulis muda segenerasi saya. Saya kira, sahabat-sahabat saya yang lain juga akan bersetuju dengan pernyataan saya ini. Sejujurnya, saya sangat menyenangi apa sahaja buah tangannya- sama ada daripada genre cerpen, novel hinggalah kepada tulisan-tulisan kembaranya ke Turki dalam Majalah i, tulisannya dalam Fokus SPM dan bimbingan penulisannya dalam Dewan Siswa juga yang terkini, penulisannya dalam blog. Faisal dilihat sangat matang dan jujur dalam setiap tulisan-tulisannya. Beliau selalu menimbulkan sesuatu yang baru, segar dan mampu memikat khalayak pembaca yang ingin berfikir.

Penggugurannya ke MASTERA bagi saya adalah suatu kerugian kepada khalayak sastera tanah air dan ia sangat mengecewakan banyak pihak. Tanyalah sesiapapun daripada khalayak sastera, pasti banyak yang kecewa dengan keputusan ini (kecuali mereka yang mempunyai kepentingan sendiri).

Wallahu’alam.


2.
Satu lagi berita yang mengecewakan kami- Majalah Tunas Cipta, majalah untuk penulis-penulis muda terbitan DBP khabarnya akan mati pada penghujung tahun ini. Patutlah edarannya di serata Malaysia nyawa-nyawa ikan, rupanya-rupanya memang ingin dibunuh.

Aduh! Betul-betul kecewa!

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <