Tuesday, September 27, 2005

GEMA SUARA MERDEKA YANG BERGEMA.


23 September ( Jumaat )–Akhirnya bergema juga Gema Suara Merdeka (GSM) di UIA petang dan malam itu setelah melalui pelbagai halangan, mehnah dan tribulasi ( teringat masa kat Kisas slalu guna perkataan ni.) Mujur jadi! Sebab saya dah malu dengan Dr. Rosli Saludin dan budak-budak UPSI tukar tarikh banyak kali, sampaikan Dr. Rosli tanya saya- Ghafirah, nih ada kena mengena dengan pilihanraya kampus ke?

Dan mujur juga jadi! Sebab saya dah banyak kali kena top up kredit dan keluar masuk CC Ameenah sebab asyik msg dan emel semua orang GSM tunda, tunda dan tunda lagi!

Dan mujur juga jadi! Sebab saya kasihankan Nas (Cik Director GSM) yang memang saya rasa Director paling spoting dan berdedikasi. Juga kasihankan kawan-kawan komiti yang bertungkus-lumus buat persiapan program ni sejak 3 bulan lepas.

Pertama kali tunda sebab UIA isytihar darurat air dan semua aktiviti dalam kampus dibatalkan. Sampaikan Cik Director kami masuk Buletin Utama malam tu sbb kena interview pasal masalah air di UIA.

Kedua kali tunda sebab ramai VIP tak dapat hadir.

Dan buat ketiga kalinya, barulah GSM dapat diadakan.

Sesi petang (Diskusi Buku), saya tak pergi, ada hal. Pun tak pergi, keempat-empat penulis lain Salju Jabal Musa (Amiza di Mesir, Nik di Sarawak, Fadhlil di Dublin dan Ida ada exam). Kesian dan rasa bersalah juga kat Abg Faisal sebenarnya. Dalam LRT, sambil membaca catatan Abg Faisal dalam Kolum Kembara Majalah I yang muka depannya Mawi tu, saya SMS ucapan maaf kat dia. Dan tulis saya, saya akan cuba sampai walau saya tahu saya takkan sempat. Dan balasan msgnya meredakan gelisah saya (Tak apa. Hati-hati. Jalan licin. Nanti Terbalik. Saya dah habis kutuk awak.) Saya ketawa, sampai makcik sebelah yang asyik mengipas tu pandang saya dua tiga kali.

Saya sampai UIA sekitar 6.00 petang.

Dan tak tahu apa jadi masa sesi diskusi tu.

Lepas Maghrib saya ke Experimental Hall dengan angah (adik saya) untuk acara Malam Suara Merdeka. Sampai sahaja di sana, yang ada cuma budak-budak Prep & Tech. Lama saya tunggu. Bosan. Saya ajak angah turun cafe HS. Depan kedai, terserempak dengan Abg Faisal yang sedang mundar-mandir. Tiba-tiba Abg Zakir telefon. Minta ambik dia kat masjid.

Meski penat dan kaki agak sakit-sakit, saya harus jadi penjemput tetamu secara sukarela malam tu, sebab kawan-kawan yang lain semua bz dan Experimental Hall tu mmg agak tersorok. Lepas ambik Abg Faisal dan Abg Zakir, dalam renyai-renyai hujan, saya jemput Jimadie yang sedang hisap rokok bawah tangga besar (kami panggil tangga Firaun). Dia berbaju melayu merah terang, dengan rokok di tangan. Saya pernah tanya dia apa yang best sangat hisap rokok tu? Dia jawab, seperti si penyair yang rindu nak baca puisi. Lepas ambik Jimadie, Nas suruh jemput Attok dan Abg Rahimidin Zahari. Sekali lagi saya ke tangga besar. Juga dalam renyai hujan, tanpa payung.

Majlis bermula agak lambat kerana masalah teknikal. Sekitar jam 9.30 malam- Abg Nizam dan Kak Hajar yang menggerakkan majlis mula berceloteh. Bermula dengan ucapan oleh Program Manager Poetry Week (Kak Nurul Hamidah), diikuti oleh perasmian oleh Abg Faisal Tehrani, acara menjadi semakin panas.

Abg Rahimidin menggegarkan pentas dengan persembahan Mantera (Ayah Telah Menuliskan Namaku Di atas Badai), diikuti bacaan puisi oleh Khairunnasriah Abd Salam dan Zaiful Nizam Wugiran (Attok).

Seterusnya majlis diserikan dengan persembahan Zapin oleh UIA. Pertama kali tengok zapin live. Teruja jugak!

Terus terang, saya sangat tertarik dengan bacaan puisi secara duet oleh Afifah Abdullah dan Akram. Masuk hingga ke hati. Dan ia saya ingat hingga ke hari ni.

Seterusnya, Abg Faisal menggamatkan suasana dengan bacaan fragmen novelnya Advencer Si Peniup Ney. Beberapa watak seperti Mama Jerman, Ustaz Sulaiman Helmi, dan keletah serta telatah jin-jin lain yang bertanding dalam konsert Negeri Fantasia itu tentunya bisa memecah ketawa penonton. Intonosi dan gaya bacaannya mengingatkan saya sewaktu mengikuti kuliahnya di MPR dulu. Dia boleh membaca dan memberi komen untuk berbelas-belas cerpen seorang diri.

Dr. Rosli Saludin yang didatangkan khas dari UPSI tampil dengan persembahan Teromba. Menurutnya, teromba ialah himpunan puisi klasik berupa sindiran. Terombak dipraktikkan di kalangan masyarakat Minangkabau terutama oleh pemimpin adat dalam acara seperti meminang dan sewaktu menyelesaikan masalah.

Seterusnya Abg Shukri Abdullah tampil dengan puisi karya Zainal Rashid Ahmad. Ini pertama kali saya bertemu mata dengan penyair terkenal tanah air ni, meskipun dia orang Perlis dan namanya selalu meniti di bibir abah.

Dan untuk kesekian kalinya, Abg Rahimidin Zahari muncul dengan persembahan mantera sebagai penutup Malam Suara Merdeka malam itu.

Majlis berakhir sekitar 11.30 malam. Alhamdulillah, lancar dan saya puas hati. Macam kata Jimadie dalam SMS nya- Lega sebab dapat lepas rindu tengok orang baca puisi!



* * * *


TARIAN BUMI


Abg Rahimidin beri saya sebuah novel Indonesia, Tarian Bumi karya Oka Rusmini malam itu. Hadiah barangkali. Telah sedia ditandatanganinya. Saya teruja ingin menghabisinya selepas helaian pertamanya saya baca- Untuk lelakiku : Pasha Renaisan dan Arif B. Prasetyo. Teringat catatan Abg Faisal di helaian pertama Surat-Surat Perempuan Johor : Untuk perempuan-perempuan istimewa dalam hidupku : Raziah Tahir dan Nurhilyati Musa. Apa yang istimewanya, kedua-kedua novel ini masih tentang saya. Tentang perempuan.

Memang Tarian Bumi buat saya kenyang. Cerita tentang diskriminasi gender dan kelas dalam masyarakat Bali, juga diskripsi kultural Bali yang saya kira telah diterjemahkan secara terperinci oleh pengarangnya mampu membuatkan saya turut merasa luka dan ketidakadilan yang dirasai oleh Telaga, Luh Sekar dan lain-lain perempuan Bali baik dari kelas Brahmana mahupun Sudra. Ia cerita tentang perjuangan seorang wanita bernama Telaga-perjuangan mencapai kebahagiaan bersama lelaki yang dikasihinya dan keberaniannya berdepan dengan realiti sosial dan kebudayaan patriarki dalam masyarakatnya. Bagaimana beraninya dia mengorbankan status Brahmananya (kelas bangsawan) demi mengahwini Wayan, lelaki dari kelas Sudra (kelas bawahan).

Namun, bukan kisah cinta Telaga-Wayan yang membuat saya teruja sangat dengan novel ini, tetapi cara pengolahan dan penterjemahan kultural Bali dalam Tarian Bumi, serta perjuangan watak-watak perempuan di dalamnya sangat menarik perhatian saya untuk menghabisi novel ini hanya dalam satu malam. Bagaimana praktik-praktik budaya dan adat serta pembahagian kelas, menyebabkan kebebasan tidak dapat dinikmati oleh mereka sepenuhnya. Mereka memberontak dalam kepatuhan, mereka enggan dalam ketaatan.

Saturday, September 10, 2005

DALAM JAJAHAN @ MASIH MERDEKA?


Jemput hadir ke GEMA SUARA MERDEKA 2005

Tarikh : 13 September 2005 (Selasa)
Tempat : Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak
Anjuran : Kelab Puisi UIAM dengan kerjasama Persatuan Penulis-Penulis Nasional (PENA)

SESI 1 : DISKUSI BUKU

1) Tales of Ogonshoto (Anwar Ridhwan) : Panel – Pn. Faridah Manaf (UIAM)

2) Sirna Sebutir Bintang (Siti Hajar Mohd Zaki) : Panel – Mawar Shafie

3) Salju Jabal Musa ( Amiza Khusyri Yusof, Fahd Razy, Ghafirah Idris, Ida Munira Abu Bakar & Nimoiz T.Y) : Panel – Faisal Tehrani

Masa : 2.30 petang
Tempat : Moot Court, AIKOL, UIAM


SESI 2 : MALAM SUARA MERDEKA

Acara : Baca Puisi, Pantun, Teromba, Gurindam, Seloka dll.

Penampilan Istimewa : SN Dato’ A.Samad Said, Shukri Abdullah, Rahimidin Zahari & Dr. Rosli Saludin.

Masa : 8 malam
Tempat : Auditorium Utama UIAM.

Masuk percuma.

Semoga kehadiran anda akan memeriahkan lagi majlis ini.



(Iklan ini boleh disebarkan. Terima kasih)

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <