Thursday, May 15, 2008

HERO DI HATI





Ketika asyik bercerita tentang hijrah ke Habsyah dalam kelas KAFA (Tahun 3), menyambung pelajaran Sirah Nabawiyah pada minggu lepas, Zulhisyam, salah seorang murid saya tiba-tiba mengajukan soalan yang agak memeranjatkan- Nabi Muhammad tu manusia macam kita ke ustazah? Saya terkelu sebentar, menarik nafas dalam-dalam dan tanpa lengah tidak membiarkan pertanyaannya itu tergantung tanpa jawapan. Kisah hijrah ke Habsyah saya tinggalkan sebentar. Nabi Muhammad tu, Hisyam, macam kita. Manusia macam kita. Dia makan, minum, tidur macam kita, macam Hisyam, macam Ustazah, macam Iskandar, macam kita semua. Dan perlahan-lahan, saya mula bercerita kepada mereka siapakah Rasulullah S.A.W, kecintaan seluruh umat Islam ini. Peribadinya, siapakah keluarganya, dan paling penting bagaimanakah akhlaknya.

Akmal Reza dengan mata terkebil-kebil mula bersuara- Selama ni saya ingatkan Nabi tu hantu! Shazmeer Haikal pula menyampuk- Saya ingat dia jin! Affan di sebelahnya mengalih wajahnya ke arah kawan-kawannya bersuara seakan separuh menjerit- Aku tahu dia manusia!

Semua pengakuan mereka itu umpama penggera, menyedarkan saya bahawa terlalu banyak lompang yang perlu diisi. Betapa terlalu banyak tugas yang harus digalas dan diselesaikan oleh setiap orang yang bernama daie dan pendidik. Alangkah pilu dan terhirisnya hati apabila anak-anak kecil berusia 9 tahun ini masih belum lagi mengenal Rasulullah. Lantas, bagaimana kecintaan dan rasa kasih kepada baginda akan terbit dari hati-hati mereka sedangkan mereka belum lagi dikenalkan dengan lebih dekat kepada sebaik-baik insan, Muhammad bin Abdullah ini? Bagaimana kita mahu menyuruh mereka mengasihi nabi, sayang kepada nabi, sedangkan mereka langsung tidak kenal siapakah dia? Bagaimana kita mahu menyuruh mereka mencontohi akhlak nabi, sedangkan di saat ini mereka masih ragu-ragu tentang identiti sebenar nabi? Hantu, Jin atau manusia seperti kitakah dia?

Mungkin keraguan ini hanya terjadi kepada sebilangan kecil sahaja daripada anak-anak kecil ini. Namun, perkara ini tidak boleh dipandang enteng. Ia melibatkan akidah, perkara tunjang dalam kehidupan seorang Muslim. Kita juga bimbang, di saat segala macam tohmahan dan hinaan kepada Rasulullah S.A.W dilemparkan oleh Barat dalam pelbagai bentuk (tulisan, karikatur, filem dan lain-lain), kita malahan masih gagal mengenalkan anak-anak kita kepada Muhammad S.A.W, Habibullah wa khatamul Anbiya’ ini.

Pengajian tentang Sirah Nabawiyah harus diperhebatkan. Setiap daripada kita ada peranannya. Ibu bapa harus mendedahkan anak-anak mereka kepada kisah-kisah Nabi. Beli dan sediakan buku-buku tentang Nabi dan jadikan ia bed-time story untuk mereka. Jadikan waktu antara Maghrib dan Isyak di rumah sebagai masa untuk mengenalkan anak-anak dan keluarga kepada Islam.

Media juga mempunyai peranan. Perbanyakkan rancangan-rancangan berbentuk penceritaan tentang kisah-kisah Nabi (seperti rancangan Kisah-Kisah Nabi yang pernah dihoskan oleh Wardina) supaya anak-anak kecil ini merasa dekat dengan Nabi, supaya mereka jatuh kasih, kagum dan ingin mengikut peribadi dan akhlak para nabi.

Sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan memainkan peranan dan tanggungjawab yang besar kerana sebahagian besar daripada masa anak-anak kecil ini dihabiskan di sekolah dan bersama guru. Kempen Cintai Rasulullah boleh diadakan- adakan pertandingan bercerita, membaca kisah-kisah Nabi, kempen selawat dan lain-lain supaya rasa kecintaan terhadap baginda dan sunnahnya akan dapat disemarakkan.

Semuanya mungkin nampak mudah, namun andai semua pihak tahu tanggungjawab masing-masing, saya percaya, rasa cinta dan kasih kepada nabi akan tumbuh subur dalam hati anak-anak Muslim lantas rasa kecintaan ini menjadikan mereka berazam untuk mengamalkan akhlak baginda. Baginda sendiri pernah bersabda: Sesungguhnya aku ini diutuskan untuk menyempurkan akhlak mulia.

Janganlah dibiarkan “keraguan” tentang Nabi ini merebak.. Janganlah membiarkan anak-anak kecil yang ibarat kain putih, mulus dan bersih ini tanpa kita sedar perlahan-lahan bakal dicorakkan oleh pelbagai warna sonsang yang kini sedang berada di sekeliling mereka. Kita bimbang, waktu demi waktu, anak-anak ini akan lebih mengkagumi dan mengagungkan peribadi hero-hero Barat dan Jepun- Superman, Ultraman, Spiderman, Mask-Rider dan lain-lain.

Janganlah membiarkan mereka memilih peribadi lain untuk menjadi ikutan dan hero di hati mereka. Usahlah membiarkan mereka, detik demi detik, terlupa bahawa sebenarnya mereka punya hero yang paling hebat daripada semua hero yang mereka kenali- Muhammad bin Abdullah, Rasulullah S.A.W.

No comments:

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <