Friday, August 26, 2005

Bismillahirrahmanirrahim.

Blog yang sudah lama bersawang ni, cerita-cerita di bawahnya agak lapuk. Maaf ye :D

JEREBU

Ketika jerebu sudah sampai tahap tepu, dada terasa sengkak, nafas terasa semacam tersekat-sekat, memaksa saya untuk lari ke Perlis. Pada mulanya, teragak-agak juga untuk balik memandangkan esoknya ada Diskusi Penulisan Islam Bersama Faisal Tehrani di UM. Saya sudah berjanji dengan banyak orang. Terasa sungguh bersalah terutamanya terhadap Cik Pengarah Program, Ummu Hani. Tapi memikirkan keadaan sekeliling yang kurang baik untuk orang seperti saya, saya dan angah pulang juga ke Perlis menaiki keretapi pada malamnya. Meninggalkan segala macam perkara yang belum terlangsai- diskusi, assignment , kuiz. Memang, tiket kami berdua adalah tiket yang terakhir. Kawan-kawan seutara yang beratur di belakang kami, semuanya terpaksa bergegas ke Pudu mencari tiket. Kasihan!

Sampai di Arau keesokan paginya, serasa seperti berada di suatu dunia baru yang indah- udaranya bersih, langitnya cerlang, awannya putih mulus. Malah, jalur-jalur sinar matahari di sana terasa sungguh cantik. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga bernafas dalam udara yang bersih dan sihat.

Dalam perjalanan dari Arau menuju ke Beseri, sempat terfikir :

Baru sedikit dan sebentar ini Allah ambil nikmat-Nya, kita sudah jadi kelam-kabut, gelabah, tak tentu arah, tak selesa, takut dan cemas. Tak dapat dibayangkan, jika sedikit demi sedikit, satu demi satu, segala nikmat, segala pinjaman-Nya ini diambil oleh-Nya semula.

Demi Allah Yang Maha Pengasih, Dia masih sudi meminjamkan, Dia masih sudi menghulurkan nikmat tanpa bayaran, Dia masih lagi mahu memberi, segala macam nikmat, segala macam pemberian, untuk kita hamba-hamba-Nya yang masih sering alpa dan lupa. Subhanallah!


NYAMUK

Malam itu, sambil menepuk-nepuk belakang adik bongsu saya agar dia cepat lelap, dia bertanya saya tentang nyamuk. Betul! Rumah saya malam itu nyamuk banyak benar! Mungkin lambat tutup tingkap senja itu.

Along, macam mana asal nyamuk?

Mula-mula jentik-jentik, lepas tu jadi nyamuklah (dalam fikiran saya, terbayang kitar hidup nyamuk. Tapi saya tak nak bagi jawapan lengkap padanya memandangkan usia adik saya itu baru menjangkau 7 tahun)

Salahlah. (Sambil dia mula menyebut telur, larva, jentik-jentik, dan nyamuk dewasa)

Erk!? Yer ker? Mana adik belajar?

Tengok ensiklopedia kat library.

(Dalam hati : Malunya!)

Moral : Jangan mempertikaikan kebolehan dan jangkau fikir si anak kecil :D


PAK SAMAD dan CINTA

Jumaat (19 Ogos)

Saya, Fadhlil dan Ida berjanji berjumpa di KL Sentral- selesaikan urusan proses kreatif Salju Jabal Musa. Kebetulan, Ida memang ada temu janji dengan Pak Samad Said pada petang Jumaat itu (temuramah untuk buletin UiTM), lalu rasa ingin ketemu itu lebih membuak-buak.

Saya dan Fadhlil lebih banyak diam- tidak mahu menggangu proses temuramah. Cumanya, ada sesekali mencelah dan ketawa bersama sewaktu Pak Samad berlelucon. Sungguh! Walaupun pernah ketemu Pak Samad secara in person, ( ketika di MPR dan di Kelantan sewaktu diskusi Salju Jabal Musa) kali ini, saya merasakan Pak Samad begitu memesrai kami, terasa begitu akrab, terasa begitu dekat.

Pak Samad turut membawa kumpulan puisinya yang terbaru, yang masih belum dilancarkan dan belum berada di pasaran, katanya. Terbitan Utusan Publication. Gambar Pak Samad berlatar belakangkan Masjid Negara menghiasi kulit keras buku tersebut. Cantik dan kelihatan klasik! Kumpulan puisi berkenaan menghimpunkan puisi-puisinya yang ditulisnya sejak sedekad yang lampau, yang menurutnya, ada yang sudah hilang daripada simpanan.

Katanya lagi, melalui kumpulan puisi berkenaan, pembaca boleh meneladani puisi-puisinya yang terawal, yang lebih menyentuh tetang rasa, tentang cinta, tentang kasih. Sambil tersenyum, katanya dia pernah beberapa kali digagalkan cinta. Pernah merasa ingin memiliki tetapi akhirnya terpaksa akur untuk menjadi sekadar seorang abang, sekadar seorang pelindung. Namun setelah itu, akhirnya kini, dia berjaya jua menemukan cinta sejati, cinta yang berjaya memiliki dan dimiliki.

Saya tersenyum sendirian dalam hati, lalu berkata kepada diri- Mungkinkah seluruh rasa cinta yang hadir dalam hati hari ini, bakal berakhir dengan memiliki?


Thursday, August 04, 2005

DISKUSI PENULISAN ISLAM BERSAMA FAISAL TEHRANI


Anjuran Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dengan kerjasama Alumni Minggu Penulis Remaja, Dewan Bahasa & Pustaka (DBP)

Tarikh : 12 Ogos 2005 (Jumaat)
Tempat : Balai Ilmu, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Masa : 2.15 hingga 6 petang
Yuran : RM 5

Penyertaan terhad. Untuk yang berminat, sila beri nama anda kepada saya (al_maghfirah@hotmail.com) atau YM ghafirahidris sebelum Rabu, 10 Ogos 2005.

Tuesday, August 02, 2005

Dan seiring waktu yg terus berputar
Aku masih terhanyut dalam mimpiku.




HIDAYAH


Kerap juga saya mengunjungi rumah kedua saya di PJ Julai lepas. Dan sekerap itu jualah perasaan cemas, gelisah dan seram bertandang. Tambahan apabila muka Atok Sen ( ketika di hospital dulu, saya dan kawan-kawan sewad memanggil Prof Sen- Atok. hehe.) berkerut-kerut memerhati CT-Scan saya, debar di dada semakin kencang. O.K ke K.O? Kemo lagi ke aku?

Sebelum saya ketemunya secara rasmi di Klinik Ortopedik, saya terserempak dengannya di Cafe- sedang minum secawan kopi panas. Lalu saya meminta izin untuk duduk menikmati sarapan bersamanya. Sebetulnya takut nak duduk dengan dia, tapi sebagai tanda menghormati, saya buat-buat berani :D

Dia memang tak banyak bercakap. Setiap kali ketemunya, dia akan bertanyakan saya beberapa soalan yang sama, memberikan saya beberapa nasihat yang sama (Dont walk too much) dan selalu membuat saya gelisah menunggu perkataan Pass sejurus selepas dia selesai membelek CT-Scan saya. Cumanya hari itu, dia menghadiahi saya senyuman yang lebar (mungkin kerana saya sudah mampu berjalan laju) ketika dia menyuruh saya menjadi model di hadapan barisan doktor-doktor pelatih di Klinik Ortopedik.

Sebenarnya, setiap kali saya berbual dengannya, ada semacam suatu rasa yang hadir ke lubuk hati saya. Ia rasa yang sama sejak mula mengenalinya. Malah, Allahyarham Abang Fadhil juga pernah menyuarakan hal yang sama pada saya.

Sering, kami berdoa agar atok kami ini, yang tidak jemu-jemu melayan kerenah kami, yang memberikan sepenuh dedikasinya merawat kami tanpa mengira batasan agama dan bangsa, agar dibukakan pintu hatinya, agar diberikan petunjuk dan HIDAYAH oleh Allah untuk menerima Islam sebagai pegangan dan cara hidup.

Semoga nanti, segala kerja kerasnya, segala keikhlasannya merawat pesakit-pesakitnya, tiadalah menjadi amalan yang sia-sia di Hari Perhitungan kelak.


( * Profesor Sen Gupta ialah pakar tulang di Hospital Universiti Malaya. Umur, lewat 70. Berasal dari India.)

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <