Tuesday, October 30, 2007

UIAM DALAM KENANGAN






Tanah dan langit UIA bakal saya tinggalkan. Kertas peperiksaan terakhir yang bakal saya hadapi sepanjang bergelar pelajar di UIA ini ialah pada 2 November nanti. Dan pada malamnya saya akan terus bertolak pulang ke Perlis. Dalam rasa tidak percaya saya sudah menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda, masih saya panjatkan rasa kesyukuran atas nikmat-Nya sepanjang kembara ilmu saya di bumi UIA ini.

Gemawan yang saban hari mendung dan mentari yang acap kali terbit suram seolah-olah mengerti hiba dan sebak yang semakin perlahan-lahan menyesak di dada. Bumi UIA, tanah tempat menyemai benih ilmu dan menuai hasil dalam setiap curahan ilmu dan pengalaman selama hampir 4 tahun ini bakal saya tinggalkan.

Gelak tawa dan senyuman teman-teman, hikmah dan nasihat pensyarah-pensyarah serta pengalaman dan perit-getir melalui kehidupan sebagai seorang pelajar universiti selama hampir 4 tahun mengelek buku dan menyiapkan assignment serta bersengkang mata menelaah pelajaran ketika musim-musim peperiksaan tentu sahaja bakal menjadi memori yang akan saya semat dalam ingatan hingga hujung hayat.

Tentu sahaja nanti, ada waktu-waktunya, saya akan tersenyum sendiri mengenang kisah-kisah pahit manis sepanjang perjalanan saya di bumi barakah, tempat saya menuai ilmu ini. Atau mungkin sahaja nanti, ada tikanya, ketika rindu menjengah kalbu, saya akan kembali mengingati tiap wajah yang pernah memberi makna dalam kehidupan saya. Wajah-wajah yang pernah memberi ilmu dan tunjuk ajar dalam didikan dan nasihatnya, jua wajah-wajah yang pernah suatu ketika mengisi relung hati dan menghulur salam persahabatan. Terima kasih kerana kalian telah mewarnai kehidupan saya dan menjadikan hidup ini bertambah cantik.

Perjalanan ilmu ini bukan suatu jejak yang mudah. Bermula dengan bertatih dan berjalan, kini saya berdoa mudah-mudahan saya mampu berlari. Menangguhkan pengajian selama setahun di pusat matrikulasi UIA atas masalah kesihatan merupakan suatu cubaan paling getir daripada-Nya yang harus saya hadapi dengan matang. Saya percaya, jatuh dan bangun dalam kehidupan merupakan ujian yang mampu membuatkan diri kita menjadi insan yang bakal menghargai kehidupan dan insan-insan di sekeliling kita. Ujian dan dugaan itulah yang membuatkan kehidupan ini menjadi lebih indah dan dihargai. Mengeluh dan menangisi nasib ianya tidak akan mampu untuk merubah apapun, kerana kita ummat yang dijadikan oleh Allah sebagai sebaik-baik ummat, untuk itu ketabahan dan kesungguhan dalam mencipta kejayaan harus menjadi pegangan dan iltizam.

Pengalaman saya di sini tidak mampu saya rakamkan semuanya dalam tulisan ini. Namun benar, setiap satunya telah mampu mengisi dan memberi makna pada setiap ruang-ruang kosong diari kehidupan saya. Tentu sahaja segala kenangan pahit manis akan tersimpan kejap dalam ingatan dan segala ilmu yang diperoleh di sini akan dijadikan pedoman dan diamalkan sebaik mungkin, Insya Allah.

Buat akhirnya, sekalung penghargaan dan rasa terima kasih yang tidak terhingga saya rakamkan buat semua pensyarah yang pernah mengajar saya khususnya para pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama (Department Usuluddin & Comparative Religion) serta Jabatan Sejarah dan Tamadun (Department History & Civilization) UIAM.

Buat pensyarah-pensyarah daripada Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama yang pernah mengajar saya secara khusus, Assoc Prof Dr. Wan Mohd Azam Mohd Amin (Contemporary Moral Issues & Tasawwuf), Dr. Majdan Alias (Islamic Aqidah, Usuluddin I, al-Firaq) Dr. Mohd Farid Mohd Shahran (Islamic Call: Methods and Principles) Assoc Prof Dr. Mumtaz Ali (Philosophy of Science), Dr. Abdul Salam (Critical Review of Philosophy in Islam), Assoc. Prof Fadzilah Din (Geography of the Muslim World and Minorities & Evangelization & Christian Mission) Dr. Jamil Hashim (Research Methodology), Dr. Amali (Usuluddin II). Dr. Fatimah (Issues in Contemporary Islamic Thought) dan Dr. Isham Pawan (History of Western Philosophy) Jazakumullahu khairan kathira wa Barakallahu fikum!

Buat sahabat-sahabat yang pernah berkongsi rasa, gelak-tawa dan air mata, khususnya sahabat-sahabat Usuluddin, Compare dan History batch 033- semoga ukhuwah yang terbina akan terus lestari dan dirahmati Ilahi. Teruslah mencipta jaya dan menjadi insan nan terbilang!

Mohon doakan saya terus!

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <