Monday, January 29, 2007

PENULIS DAN DAKWAH


Persoalan ini masih bermain-main di kotak fikir saya hingga ke hari ini. Salahkah seorang penulis menghantar cerpennya ke URTV @ majalah-majalah bercorak hibur, libur dan gosip yang lain? Jatuhkah standard @ maruah seorang penulis? Tercemarkah nama baik si penulis andainya terpampang cerpen beserta nama pena yang dapat dicam oleh pembaca-pembacanya di majalah hiburan berkenaan? Terdesak sangatkah si penulis sehingga menghantar cerpennya ke majalah-majalah yang dianggap sebagai low class itu?

Semua persoalan ini gagal memberikan jawapan ya kepada saya apabila saya cuba mengaitkannya dengan penulis sebagai daie dan sesebuah penerbitan itu (tidak kiralah majalah, buku, surat khabar atau apa sahaja medan itu menerbitkan karya) sebagai pentas dakwah.

Dakwah bermaksud menjemput (invitation) dan seorang daie itu tidak memilih mad’u nya (orang yang ditujukan da’wah) jua tidak memilih pentas dakwahnya. Dia bebas dan seharusnya menggunakan apa sahaja cara dan ruang untuk menyampaikan dakwahnya selagi mana cara itu masih tidak melanggar syariat Islam dan prinsip-prinsip dakwah contohnya tidak menggunakan kekerasan ketika menyampaikan dakwah atau memaksa mad’u untuk menerima dakwahnya.

Dakwah berdiri di atas beberapa premis atau dengan kata mudahnya kenapa dakwah itu penting untuk dilaksanakan.

Pertama, kebenaran agama Islam itu sendiri. Islam adalah agama yang paling benar di sisi Allah dan diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad untuk disampaikan kepada sekalian umat manusia.

Kedua, sifat universal yang ada pada ajaran Islam. Bermaksud dakwah itu tidaklah dihad dan difokuskan kepada satu kelompok manusia atau pada sesuatu masa tertentu sahaja.

Ketiga, dakwah merupakan satu tugas penting junjungan besar Muhammad SAW dan kita sebagai umatnya harus menyambung tugas baginda ini.

Keempat, musuh-musuh Islam terutamanya Kristian sedang rancak menjalankan misi, menyebarkan dakyah-dakyah mereka dengan pelbagai cara dan dari segenap sudut. Oleh itu adalah wajib ke atas umat Islam untuk menjalankan misi dakwah bagi mengekang usaha-usaha yang sedang giat dilaksanakan oleh mereka.

Pada pandangan saya, adalah kurang bijak untuk seorang penulis yang di hatinya tertanam niat untuk menjadikan penulisannya sebagai dakwah memilih pentas@medan dakwahnya. Kebenaran Islam itu harus disampaikan kepada semua lapisan masyarakat dan kita sebagai penulis (daie) tidak seharusnya memilih hanya untuk menghantar karya-karya kita ke penerbitan ilmiah yang hanya dibaca oleh kelompok-kelompok tertentu. Seharusnya kita sebagai penulis yang ingin menjadi daie perlu menggunakan segala ruang kosong yang ada di mana-mana sahaja penerbitan. Ini untuk memastikan agar karya@dakwah yang ingin disebarkan sampai ke pelbagai lapisan pembaca. Para du’at terdahulu contohnya daripada Ikhawanul Muslimin tidak hanya menyebarkan dakwah di masjid-masjid dan ceramah-ceramah agama tetapi mereka turut menjadikan kedai-kedai kopi sebagai pentas dakwah mereka. Hal ini untuk memastikan agar kelompok masyarakat yang tidak punya keinginan@tidak suka@tidak ada masa untuk menghadiri kuliah-kuliah agama turut merasa tempias dakwah itu.

Begitu jugalah halnya dengan kita sebagai penulis daie. Anda tidak akan menurunkan martabat anda atau anda tidak akan kelihatan terdesak sekiranya anda menghantar karya-karya dakwah anda itu ke penerbitan-penerbitan bukan ilmiah, sebaliknya anda telah membuka sedikit daripada pintu untuk pembaca-pembaca yang sukakan bahan-bahan bacaan ringan itu untuk melangkah masuk ke medan dakwah anda apabila mereka membaca karya anda yang tersiar di majalah berkenaan. Sekurang-kurangnya anda sudah menyediakan bahan bacaan yang baik untuk mereka dan tidaklah sudut kreatif di majalah tersebut dilonggokkan dengan cerpen dan puisi cinta berbaur romantis dan khayal semata.

Cuba-cubalah anda bertanya diri anda sendiri- adakah selama ini mesej yang ingin anda sampaikan melalui karya-karya anda sampai kepada semua kelompok pembaca? Adakah mesej@karya@dakwah anda itu hanya berlegar-legar di kelompok yang sama- kelompok penulis dan pencinta sastera serta pembaca-pembaca berintelek dan pencinta ilmu? Tetapi ia tidak pernah sampai kepada pembaca-pembaca yang lebih ralit membaca hal-hal gosip Era Fazira, kisah rumah tangga CT Nurhaliza, kisah artis kahwin cerai dan lain-lain.

Hal ini tidak lain, ianya disebabkan oleh kita, penulis, gagal untuk mengisi lompang yang ada di ruang kreatif dan cerpen di majalah-majalah berkenaan. Kita ini terlalu memilih! Dan setelah itu, kita menuding jari menyalahkan orang lain sedangkan sebetulnya kita sendiri yang gagal, takut dan malu untuk mencuba.

Imam Fakhrul Razi dalam tafsirnya Mafatihul Ghaib@ Tafsir Kabir telah menggariskan 3 metod dakwah dan 3 peringkat mad’u berdasarkan ayat 125 daripada Surah al-Nahl.

Melalui ayat ini, dapat kita simpulan 3 metod @ cara dakwah yang berbeza iaitu hikmah, mau’izah dan mujadalah. Daripada metod ini dapat pula kita senaraikan 3 peringkat mad’u.

Hikmah adalah cara menyampaikan dakwah yang pertama dan ia merupakan cara yang harus disertakan dengan bukti-bukti yang kukuh dan bebas dari sebarang kecacatan serta kontradiksi. Cara dakwah begini harus disampaikan kepada mad’u yang sempurna intelek dan ilmunya serta mempunya daya taakulan yang tinggi.

Manakala mauizah pula ialah cara menyebarkan dakwah secara menyebarkan dan memberi nasihat. Caranya boleh dikatakan sebagai suatu cara memujuk (persuasive proof). Peringkat mad’unya ialah kelompok masyarakat yang mempunyai tahap intelek yang sederhana. Majoriti mad’u adalah terdiri daripada kelompok ini.

Mujadalah pula ialah cara menyampaikan dakwah dengan berdebat dan berdiskusi dan kelompok mad’u nya terdiri daripada mereka yang antagonis, bersifat offensive dan mengancam.

Daripada tafsir ayat 125, Surah al-Nahl ini, kelompok mad’u terbesar adalah yang memerlukan kepada metod @ cara dakwah mauizah iaitu dakwah yang bersifat memberikan nasihat dan memujuk. Oleh itu, kita sebagai penulis berperanan besar untuk mendekati kelompok mad’u ini dengan cara menyediakan bahan-bahan bacaan yang sarat dengan unsur-unsur nasihat dan moral. Justeru, bagaimana untuk memastikan karya-karya @dakwah kita sampai kepada mereka tanpa kita turun mendekati mereka? Bagaimana dakwah itu dapat diperluaskan sekiranya kita masih menjadi penulis yang begitu cerewet memilih medan berkarya?

Sekiranya anda sebagai penulis masih lagi berfikir-fikir bahawa karya anda itu harus dihantar di penerbitan-penerbitan utama untuk dilihat oleh sahabat-sahabat anda, senior-senior penulis atau sifu-sifu anda agar anda tidak dikutuk kerana gagal beristiqamah dalam penulisan, maka lupakan saja hasrat anda untuk menjadi penulis yang berjiwa pendakwah. Seorang daie tidaklah mengejar nama atau kerja-kerja dakwahnya itu harus dilihat, dihebahkan dan diketahui umum, sebaliknya dia lebih mementingkan kualiti dan keberkesanan kerja dakwahnya.

Jom sama-sama menjadi penulis daie!

Wallahu’alam.

Monday, January 08, 2007

JUMAAT YANG RAHMAT


Pagi yang menguji.

Pagi-pagi lagi dia sudah keluar. Tanpa mengalas perut (kerana dia terpaksa berpuasa selama 6jam) dia gagahkan jua kaki ke PJ. Dia berasa sangat malas untuk pergi. Sangat-sangat malas. Lebih-lebih lagi seorang diri pagi-pagi begini. Tapi dia tak mampu mengelak. Pergi ke sebuah bangunan yang terletak di PJ itu memang sudah menjadi salah satu kewajipan ke atasnya sedari 5 tahun lalu. Kalau tidak, pasti dimarah Prof Sen!

Dia ambil LRT terus ke Stesen Univesiti. Kemudian ambil bas nombor 12 ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Dia sampai lewat setengah jam. Appointment CT-Scan jam 9 pagi. Aduh! Pasti sudah ramai pesakit sekarang!

Betul. Dia terpaksa menunggu lama. Jam 10 baru dia dipanggil berjumpa doktor. 2 kali doktor berbangsa Tiongha itu cuba memasukkan branula (baca: jarum) ke urat lengannya tetapi kedua-dua percubaan doktor itu gagal. Urat lengannya pecah! Dia cuba-cuba buat-buat tak sakit meskipun air matanya teringin benar untuk tumpah. Dia pujuk hatinya. Alah engkau ni, macamlah tak biasa kena cucuk. Cubaan ketiga untuk memasang branula oleh doktor yang namanya Lee itu berjaya. Fuh!

Selepas branula dipasang, dia terpaksa menunggu lagi sejam untuk masuk ke bilik CT-Scan. Sambil menunggu, dia menyelak-nyelak akhbar Kosmo yang separuh daripadanya sarat berita hiburan itu. Dia terpandang sesuatu. Mawi, Norman dan Ogy di Rumah Pena! Terus dia tersenyum. Tempat sahabatnya yang dijadualkan untuk membuat Pengakuan Penyair malam ini, rupanya-rupanya diganti Mawi! Hah hah hah.

Jam 11, namanya dipanggil. Macam biasa, mesin CT-Scan itu sangat pandai berkata-kata- Tarik nafas. Tahan nafas. Nafas biasa. Lebih kurang 15 minit, aktiviti CT-Scan selesai. Keputusannya akan diketahui bulan Februari nanti. Dia lapar. Terus menuju ke kedai bersebelahan tempat pendaftaran pesakit luar- beli satu kuih pau inti kaya. Makan soorang-sorang sambil main-main mata dengan seorang laki-laki kecil (usia mungkin sekitar 2 atau 3).

Dalam LRT pulang ke UIA, dia menghantar mesej kepada sahabatnya itu. Tempat hang Mawi ganti la! Terus, dia dan sahabatnya bersepakat mahu pergi Rumah Pena malam itu!


* * *

Malam yang mengubat rindu.

Dia ke Rumah Pena. Lama benar dia tidak ke sana. Dua buah khemah sudah tersedia menghadap sebuah pentas. Dia dapat tempat duduk. Kerusi paling belakang. Tak nampak orang baca puisi, cuma dapat mendengar dengan penuh hemat. Rumah Pena malam itu penuh. Dia mengeluarkan cermin mata yang selalunya hanya dipakai ketika di kelas. Tergantung di backdrop- Malam Baca Puisi Penulis dan Perjuangan. Dan malam itu, tema perjuangannya ialah membantah perkahwinan campur Utusan dan NST. Dirasmikan oleh Rais Yatim yang memakai baju batik warna ungu sedondon dengan isterinya.

Dia jumpa ramai teman-teman penulis. Sifu-sifunya juga ramai yang hadir. Betul-betul terubat rindu! Yang sempat ditegurnya: Jimadie, Lutfi Ishak, Amir Mukhriz, Dahrie, Khairun Nasriah, Attok, Hanisah Othman, Zaid Akhtar, Nazmi Yaakob, Siti Jasmina, SM. Zakir, Shamsudin Othman, Saifullizan, Rahimidin Zahari, Dr. Rosli (UPSI), Cikgu Abu Hassan Morad, Kak Azah dan En. Luqman (Utusan).

Penulis-penulis hebat yang hanya mampu dikaguminya dari jauh: A.Samad Said, Lim Swee Tin, Zurinah Hassan, Pyan Habib, Khalid Salleh, Zainal Rashid Ahmad dan ramai lagi yang tak tersebutkan di sini.

Satu pertanyaan yang masih terngiang-ngiang di telinganya hingga ke saat ini: Ghafirah, mana karya? Tak nampak pun.

Dan dia rasa seolah-olah dicabar.

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <