Monday, January 08, 2007

JUMAAT YANG RAHMAT


Pagi yang menguji.

Pagi-pagi lagi dia sudah keluar. Tanpa mengalas perut (kerana dia terpaksa berpuasa selama 6jam) dia gagahkan jua kaki ke PJ. Dia berasa sangat malas untuk pergi. Sangat-sangat malas. Lebih-lebih lagi seorang diri pagi-pagi begini. Tapi dia tak mampu mengelak. Pergi ke sebuah bangunan yang terletak di PJ itu memang sudah menjadi salah satu kewajipan ke atasnya sedari 5 tahun lalu. Kalau tidak, pasti dimarah Prof Sen!

Dia ambil LRT terus ke Stesen Univesiti. Kemudian ambil bas nombor 12 ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Dia sampai lewat setengah jam. Appointment CT-Scan jam 9 pagi. Aduh! Pasti sudah ramai pesakit sekarang!

Betul. Dia terpaksa menunggu lama. Jam 10 baru dia dipanggil berjumpa doktor. 2 kali doktor berbangsa Tiongha itu cuba memasukkan branula (baca: jarum) ke urat lengannya tetapi kedua-dua percubaan doktor itu gagal. Urat lengannya pecah! Dia cuba-cuba buat-buat tak sakit meskipun air matanya teringin benar untuk tumpah. Dia pujuk hatinya. Alah engkau ni, macamlah tak biasa kena cucuk. Cubaan ketiga untuk memasang branula oleh doktor yang namanya Lee itu berjaya. Fuh!

Selepas branula dipasang, dia terpaksa menunggu lagi sejam untuk masuk ke bilik CT-Scan. Sambil menunggu, dia menyelak-nyelak akhbar Kosmo yang separuh daripadanya sarat berita hiburan itu. Dia terpandang sesuatu. Mawi, Norman dan Ogy di Rumah Pena! Terus dia tersenyum. Tempat sahabatnya yang dijadualkan untuk membuat Pengakuan Penyair malam ini, rupanya-rupanya diganti Mawi! Hah hah hah.

Jam 11, namanya dipanggil. Macam biasa, mesin CT-Scan itu sangat pandai berkata-kata- Tarik nafas. Tahan nafas. Nafas biasa. Lebih kurang 15 minit, aktiviti CT-Scan selesai. Keputusannya akan diketahui bulan Februari nanti. Dia lapar. Terus menuju ke kedai bersebelahan tempat pendaftaran pesakit luar- beli satu kuih pau inti kaya. Makan soorang-sorang sambil main-main mata dengan seorang laki-laki kecil (usia mungkin sekitar 2 atau 3).

Dalam LRT pulang ke UIA, dia menghantar mesej kepada sahabatnya itu. Tempat hang Mawi ganti la! Terus, dia dan sahabatnya bersepakat mahu pergi Rumah Pena malam itu!


* * *

Malam yang mengubat rindu.

Dia ke Rumah Pena. Lama benar dia tidak ke sana. Dua buah khemah sudah tersedia menghadap sebuah pentas. Dia dapat tempat duduk. Kerusi paling belakang. Tak nampak orang baca puisi, cuma dapat mendengar dengan penuh hemat. Rumah Pena malam itu penuh. Dia mengeluarkan cermin mata yang selalunya hanya dipakai ketika di kelas. Tergantung di backdrop- Malam Baca Puisi Penulis dan Perjuangan. Dan malam itu, tema perjuangannya ialah membantah perkahwinan campur Utusan dan NST. Dirasmikan oleh Rais Yatim yang memakai baju batik warna ungu sedondon dengan isterinya.

Dia jumpa ramai teman-teman penulis. Sifu-sifunya juga ramai yang hadir. Betul-betul terubat rindu! Yang sempat ditegurnya: Jimadie, Lutfi Ishak, Amir Mukhriz, Dahrie, Khairun Nasriah, Attok, Hanisah Othman, Zaid Akhtar, Nazmi Yaakob, Siti Jasmina, SM. Zakir, Shamsudin Othman, Saifullizan, Rahimidin Zahari, Dr. Rosli (UPSI), Cikgu Abu Hassan Morad, Kak Azah dan En. Luqman (Utusan).

Penulis-penulis hebat yang hanya mampu dikaguminya dari jauh: A.Samad Said, Lim Swee Tin, Zurinah Hassan, Pyan Habib, Khalid Salleh, Zainal Rashid Ahmad dan ramai lagi yang tak tersebutkan di sini.

Satu pertanyaan yang masih terngiang-ngiang di telinganya hingga ke saat ini: Ghafirah, mana karya? Tak nampak pun.

Dan dia rasa seolah-olah dicabar.

No comments:

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <