Tuesday, July 24, 2007

SUATU CATATAN PERIBADI

Sesi akademik Sem 1 2007/08 baru saja bermula. Minggu ini masuk minggu ketiga saya di UIA. Masih belum sibuk dengan assignment, presentation dan mid-term test. Cumanya sekarang saya sedang membantu pensyarah di kulliyyah saya, Prof Madya Dr. Wan Azam Mohd Amin, membaca pruf buku beliau, Ajaran Sesat (edisi ke2) yang bakal diterbitkan oleh Research Centre IIUM.

Semester ini merupakan semester terakhir saya. Alhamdulillah wa syukrulillah:) Andai dikenang-kenang, saya pernah melalui zaman kesukaran ketika di matrikulasi UIA dulu. Menangguhkan sesi pembelajaran selama setahun, tidak pernah mematahkan semangat saya untuk meneruskan pembelajaran. Teringat reaksi seorang ustazah di pusat matrikulasi UIA. Dia terkejut kerana saya masih mampu meneruskan pengajian. Sangkanya, kemoterapi akan turut memberi kesan kepada sel-sel otak saya. Malahan mak abah saya juga bimbangkan perkara yang sama!

Namun Alhamdulillah, ternyata Allah itu Maha Adil. Kini, perjalanan hidup saya dipenuhi oleh banyak perkara yang manis-manis. Dan saya kekal berdoa, mudah-mudahan segala-galanya dipermudahkan oleh Allah untuk saya.

Berakhirnya sesi pembelajaran di mana-mana institusi pendidikan, tidak bermakna berakhirnya sesi pembelajaran dan pengajian dalam kehidupan kita. Kehidupan itu sendiri adalah sekolah. Kita belajar daripada pengalaman sendiri jua pengalaman orang lain. Setiap waktu, tiap detik, tiap hari, banyak perkara baru yang mampu kita jadikan pedoman dan iktibar. Kita belajar daripada semua perkara di sekeliling kita. Malahan andai kita berpegang kepada seruan junjungan besar, Rasulullah SAW bahawa menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap muslim, lelaki dan perempuan, tentu sahaja kita tidak akan pernah berhenti daripada belajar dan tidak akan pernah lelah menggali ilmu Allah yang melaut luas.

Selepas berakhirnya semester ini, Insya Allah November nanti saya akan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Usuluddin dan UIA masih menjadi pilihan hati:) Kalau anda ada sebarang tajuk yang sesuai untuk tesis, berkaitan dengan aqidah, kalam, dakwah, firaq, pemikiran Islam mahupun sebarang isu baru, bolehlah emel kepada saya. Saya sangat-sangat mengalu-alukannya.

Di bawah ialah salah satu bab daripada assignment yang saya tulis untuk subjek Bahasa Melayu Lanjutan. Mudah-mudahan tulisan secara ringkas berkenaan Sastera Islam dan kaitannya dengan dakwah dapat memberi manfaat kepada kita bersama.


BAGAIMANA SASTERA ISLAM MENEPATI KONSEP DAKWAH


DEFINISI DAN KONSEP DAKWAH

Dakwah berasal daripada perkataan Bahasa Arab da’a yang bermaksud menjemput, mempelawa, mengajak. Dari segi istilah, dakwah didefinisikan oleh Doktor Abdul Karim Zaydan dalam bukunya Usul al-Da’wah sebagai “pelawaan, ajakan dan jemputan untuk mengikuti ajaran Islam.”

Dalam al-Quran dan Hadith, terdapat beberapa konsep yang mempunyai hubungan yang kuat dengan konsep dakwah contohnya al-jihad fi sabil Allah (berjihad di jalan Allah), al-amr bil ma’ruf wa al-nahi ‘an al-munkar (melakukan perbuatan yang baik dan meninggalkan perbuatan yang salah), al-Islah (memperbaiki), al-tadhkir (memperingati), al-tabligh (menyampaikan), al-ta’wun ‘ala al-birr (bantu-membantu ke arah kebenaran) dan lain-lain.

Bertitik-tolak daripada itu, sastera Islam seperti yang telah dihuraikan sebelum ini dilihat sebagai menepati konsep-konsep di atas. Dalam kertas projek yang terhad ini, kami akan cuba menghubung-kaitkan teori sastera Islam dengan salah-satu konsep dakwah iaitu amar ma’ruf nahi munkar (mengajak melakukan amalan kebaikan dan meninggalkan amalan kejahatan) bagi menjelaskan lagi kaitan antara kedua-dua konsep ini.

HUBUNG-KAIT ANTARA SASTERA ISLAM DAN KONSEP AMAR MA’RUF NAHI MUNKAR

Pendekatan sastera Islam seperti yang ditekankan oleh A.Hasjmy dan Shahnon Ahmad adalah lebih kepada pendekatan amar ma’ruf nahi munkar. Sastera Islam cuba merangkumkan ilmu dan amalan agama dalam konteks kesusasteraan serta mengambil kira konsep amar ma’ruf nahi munkar yang terkandung dalam ajaran Islam untuk diterapkan dalam karya sastera. Ini amat berbeza dengan konsep sastera Barat yang cuba memisahkan kesusasteraan daripada agama.

Untuk melihat dengan lebih jelas lagi hubung-kait antara sastera Islam dan konsep amar ma’ruf nahi munkar ini, kami akan cuba menghuraikannya dengan merujuk kepada beberapa aspek penting dalam sesebuah karya sastera iaitu penulis, mesej serta bahasa dan teknik penceritaan.

.1 Penulis

Dalam konsep dakwah amnya dan amar maruf nahi munkar khasnya, setiap individu Muslim mempunyai tanggungjawab untuk mengajak orang lain melakukan amalan kebaikan dan mencegah segala amalan kejahatan dan kemaksiatan. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 110:

Anda adalah umat pilihan, yang ditampilkan untuk manusia (Dengan ketentuan agar anda) menyuruh berbuat ma’ruf, mencegah perbuatan mungkar dan beriman kepada Allah...

Sehubungan dengan itu, penulis yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya juga adalah tergolong dari kalangan umat pilihan ini yang turut sama memikul tanggungjawab untuk mengajak orang lain melakukan kebaikan dan mencegah amalan kejahatan menerusi karya dan tulisan-tulisannya. Ciri-ciri penulis atau sasterawan Muslim seperti yang telah diperincikan oleh A.Hasjmy menunjukkan betapa sastera Islam tidak mengabaikan keperibadian penulis. Ini kerana, penulis yang mempunyai ciri-ciri seperti yang disebutkan pasti akan menampilkan kebenaran dan kebaikan dalam karya-karyanya.

Sastera Islam adalah hasil ilham penulis yang dikurniakan oleh Allah kepada penulis. Oleh sebab itu, penulis harus menggunakan dan memanfaatkan kurniaan Ilahi ini dengan rasa tanggungjawab, ikhlas, jujur dan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah dengan tidak menghasilkan karya yang memaparkan kisah-kisah yang dibenci Allah, sebaliknya menghasilkan karya yang dapat mengajak para pembaca untuk melakukan amal kebaikan dan meninggalkan kejahatan dan kemaksiatan. Ini adalah selari dengan konsep amar ma’ruf nahi munkar yang tidak menggunakan kelebihan dan kenikmatan yang diberikan oleh Allah kepada kita ke arah jalan yang menyimpang dari landasan-Nya.

Selain itu, berbalik kepada firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 110 seperti yang disebutkan tadi, konsep amar ma’ruf nahi munkar ini hanya dikhususkan kepada umat Islam sahaja. Maka bertitik-tolak dari inilah, sastera Islam mestilah dihasilkan oleh umat Islam sendiri supaya kebenaran Islam itu dapat dilihat dalam karya mereka secara jujur dan jelas. Sebaik-baiknya sastera Islam adalah hasil penulis yang kuat berpegang kepada ajaran Islam dan mempraktiskannya dalam penulisan.

Para penulis Islam juga disarankan untuk membentuk organisasi atau kelompok dari kalangan mereka serta bekerjasama dan saling membantu bagi memastikan misi dakwah melalui karya ini dapat dilaksanakan dengan sempurna. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 104:

Perlu ada di antara anda, satu kekuatan organisasi, yang tugasnya mengajak ke jalan kebaikan, menyuruh berbuat ma’ruf, mencegah perbuatan mungkar. Mereka itulah yang berjaya.

2. Mesej

Hubung-kait yang paling jelas antara konsep amar ma’aruf nahi mungkar ialah pada mesej yang dibawa oleh sastera Islam. Mesej utama yang dibawa oleh kedua-dua konsep ini ialah mesej Tauhid. Dalam konsep amar ma’ruf nahi mungkar khasnya dan dakwah amnya, mesej yang ingin dibawa ialah mengimani kewujudan Allah, mengimani keesaan-Nya serta mengimani bahawa Dialah Tuhan sekalian alam selain menyeru sekalian manusia untuk mengikuti ajaran Islam. Justeru, setelah mengimani kewujudan Allah ini, maka segala amalan kebaikan yang kita lakukan akan menjurus kepada satu niat iaitu dilakukan hanya kerana Allah begitu juga kita menghindari diri daripada kejahatan adalah jua kerana Allah.

Sastera Islam juga turut meletakkan konsep Tauhid ini sebagai asasnya. Oleh sebab itulah, Shahnon Ahmad mendefinisikan sastera Islam sebagai Sastera kerana Allah, berhikmah untuk manusia, kesusteraan berakhlak yang telah ditetapkan oleh Khaliq, karya yang jelas dan satu ibadah.

Apabila mesej sastera Islam dihubungkaitkan dengan konsep Tauhid ini (sastera kerana Allah), maka penulis bakal merasakan adanya hubungan dengan Allah. Penulis yang menjiwai Islam dan mempunyai hubungan yang erat dengan Penciptanya, tidak mungkin akan menghasilkan karya yang bertentangan dengan ajaran Islam sebaliknya akan menghasilkan karya amar ma’ruf nahi mungkar.

Hubungan antara penulis dan Penciptanya inilah yang telah memperlihatkan keistimewaan dan keunikan konsep sastera Islam berbanding konsep sastera bukan Islam.

Setelah perhubungan antara penulis dan Penciptanya jelas, maka karya yang dihasilkan dalam sastera Islam tentulah akan menepati konsep amar ma’ruf nahi mungkar, sejajar dengan firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 71:

Mereka menyuruh mengerjakan amar ma’ruf mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Radul-Nya.

Salah satu isi penting dalam konsep amar ma’ruf nahi mungkar ialah prinsip akhlak dan moral. Prinsip ini harus disuburkan dalam karya sastera Islam. Karya sastera Islam harus tampil sebagai satu karya moral dengan jalan pilihan ke arah kebaikan yang jelas. Justeru, karya-karya sastera yang tidak ada nilai dan etika serta moral, picisan dan sia-sia, dan membawa kepada kerosakan tidak termasuk dalam kategori Sastera Islam. Bahkan karya sastera yang mendorong lahirnya masyarakat yang tidak bermoral dengan menampilkan kehidupan watak yang bergelumang dosa dan penulis pula tidak menjelaskan bahawa kehidupan sebegitu adalah bertentangan dengan Islam bahkan memuja watak tersebut juga tidak termasuk dalam Sastera Islam.

Penulis sastera Islam yang berpegang kepada konsep amar ma’ruf nahi mungkar ini tentu sahaja akan menyebarkan nilai-nilai keIslaman, membanteras kejahatan, membongkar ketidakadilan, penindasan, korupsi dan memperjuangkan kebenaran melalui karya-karyanya supaya kebenaran ini dapat ditegakkan dalam masyarakat seperti yang dikehendaki dalam Islam. Penulis haruslah menegakkan ajaran Allah dengan menampilkan watak-watak yang beriman dan beramal soleh dalam karya-karyanya, karyanya berterusan membenarkan yang benar dan mengharamkan yang haram, mendorong lahirnya masyarakat yang adil dan makmur serta tidak memberi hak kepada watak-wataknya untuk melakukan sesuatu mengikut kehendak hawa nafsunya sebaliknya berlandaskan hukum dalam Islam.

Justeru dapat kita simpulkan di sini bahawa sastera Islam meletakkan mesej di tempat teratas. Di samping itu, sekiranya penulis mempunyai hubungan yang erat dengan Penciptanya, atau dengan kata lain, penulis menjiwai Islam dalam kehidupan sehariannya, maka keimanan dan keperibadian penulis ini akan terjelma dalam karya-karyanya yang bakal mengajak pembaca melakukan amal kebaikan dan mencagah amal kemaksiatan dan kemungkaran.

3. Bahasa dan Teknik Penceritaan

Dalam konsep amar ma’ruf nahi munkar khasnya dan konsep dakwah amnya, terdapat beberapa metodologi dakwah yang telah diberi garis panduan oleh Islam. Imam Fakhrul Razi dalam tafsirnya Mafatihul Ghaib telah menggariskan tiga metod dakwah berdasarkan ayat 125 daripada Surah al-Nahl yang bermaksud:

Ajaklah ke jalan Tuhan kamu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan dengan cara yang baik dan berdebatlah dengan baik.

Melalui ayat ini, dapat kita simpulan tiga metod atau cara dakwah yang berbeza iaitu hikmah, mau`izah dan mujadalah.

Menurut Imam Fakhrul Razi, hikmah ialah cara menyampaikan dakwah yang pertama dan ia merupakan cara yang harus disertakan dengan bukti-bukti yang kukuh dan bebas daripada sebarang kecacatan serta kontradiksi. Manakala mau`izah pula ialah cara menyebarkan dakwah secara menyebarkan dan memberi nasihat. Caranya boleh dikatakan sebagai suatu cara memujuk. Mujadalah pula ialah cara menyampaikan dakwah dengan berdebat dan berdiskusi.

Maka di sini letaknya persamaan antara metod atau ‘kaedah menyampaikan’ dalam kedua-dua konsep. Seperti juga dalam konsep amar ma’ruf nahi munkar yang menyampaikan sesuatu dengan cara yang jelas dan menyediakan hujah-hujah yang kukuh, Shahnon Ahmad mengatakan bahawa sastera Islam juga bukanlah suatu hasil karya yang kabur, boleh mengelirukan pembaca dan hasilnya tidak menjelaskan petunjuk yang benar.

Selain itu menurutnya lagi, penggunaan bahasa dalam sastera Islam haruslah mudah supaya maksudnya tepat dan tidak mengelirukan. Gaya bahasa yang berputar-putar ditentang oleh Islam begitu juga dengan teknik penceritaan yang melampau atau berlebih-lebihan contohnya menceritakan secara terperinci perbuatan munkar seperti zina dan khalwat dalam karya.

Justeru, dapat kita simpulkan di sini bahawa bahasa dan teknik menulis dalam sastera Islam haruslah mudah dan jelas supaya mesej yang bersifat kebenaran dan bermanfaat yang ingin disampaikan dalam karya sastera Islam itu dapat sampai dengan mudah kepada pembaca dan tidak mengelirukan mereka. Dikhuatiri, andai bahasa yang digunakan dalam sastera Islam itu sukar difahami, penuh dengan kata-kata yang kabur dan janggal, maka mesej kebenaran yang ingin disampaikan itu tidak dapat memberi kesedaran kepada pembaca sebaliknya menyesatkan mereka pula.


Kesimpulannya, keindahan sastera Islam yang meletakkan hubungan penulis dan Tuhan serta mesej dan matlamat di tempat teratas menjadikannya istimewa, unik dan mempunyai ciri-ciri dan konsep tersendiri berbanding sastera bukan Islam. Harus disebutkan di sini, mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran tidak hanya dilakukan dengan lisan tetapi mungkin lebih berkesan melalui tulisan sepertimana sumber utama umat Islam, al-Quran yang megajarkan ayat-ayat Allah dalam kaedah cerita contohnya kisah Nabi Yusuf dan Nabi Musa.

Sastera Islam yang mempunyai kaitan akrab dengan Tuhan, seharusnya membawa mesej yang tidak menyesatkan pembaca sebaliknya mengutamakan kebaikan daripada kejahatan seperti yang disarankan dalam Islam.

Selain itu, sastera Islam turut mementingkan keperibadian menulis dan mengangkat prinsip moral dan akhlak. Penulis yang berperibadi mulia tentunya tidak akan menghasilkan karya-karya yang melanggar batasan agama, moral dan akhlak sebaliknya menghasilkan karya yang mengajak pembacanya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan.

Kesimpulannya, asas, konsep dan prinsip yang dibawa oleh sastera Islam menepati konsep dakwah daripada semua sudut; penulis, mesej, bahasa serta teknik penceritaan dan seharusnya semua penulis Muslim menyimpan hasrat untuk sedaya upaya cuba menepati konsep sastera Islam ini dalam karya-karya mereka.

Tuesday, July 03, 2007

ANCAMAN KRISTIANISASI


Ada satu iklan yang acap kali ditayangkan di kaca tivi yang menarik perhatian saya. Mungkin anda juga perasan akan iklan Choir of Trinity College itu. Perkataan TRINITY itu membuatkan perasaan ingin tahu saya membuak-buak.

The Choir of Trinity College telah pun mengadakan persembahan mereka di Kuala Lumpur Convention Center pada 1 dan 2 Julai dan bakal mengadakan persembahan pada 4 Julai di E & O Hotel Ballroom, Penang dan 6 Julai di Jotic Auditorium bersempena dengan Johor Arts festival. Jadual persembahan ini turut termuat dalam laman web mereka. Iklan di tivi menyebut bahawa mereka bakal mempersembahkan lagu-lagu Beatles dan Australian Folks. Tapi benarkah hanya sekadar lagu-lagu rakyat yang bakal diperdendangkan?

Ya. Saya ini memang agak ironis. Harus anda ingat, dakyah Kristianisasi itu boleh masuk melalui pelbagai cara termasuk melalui muzik.

Ini sedikit pengenalan tentang koir berkenaan yang saya petik dari website mereka.

Choir of Trinity College has built a reputation for its fine singing of music of the Anglican Cathedral tradition, from the Renaissance to the modern day. Its major weekly commitment is the singing of Evensong, a wonderful Anglican service of praise and reflection through music, at 6.00pm in the College Chapel every Sunday during term. The choir records, broadcasts and tours regularly nationally and internationally.

Dan ini antara kaset dan CD yang telah mereka rakamkan. Rata-ratanya ada sangkut-paut dengan Kristianisasi. Abide With Me, O Blessed Light, Rejoice, My Spirit Sang All Day dan lain-lain.

Dan bagaimana pula latar belakang Trinity College itu sendiri?

This college has been founded in 1872 by the first Anglican Bishop of Melbourne, the Rt Revd Charles Perry, ‘after the model of the English Colleges of Oxford and Cambridge.’ On 1877, Trinity College Theological School was established by the second Bishop of Melbourne, Bishop James Moorhouse, to provide not only theological training but also ‘a large and liberal education’ for Anglican clergy. In 1983, The Trinity College Foundation was established. It is the arm of the College seeking philanthropic support – founded to foster and encourage the College’s commitment to access and equity. In 2000, Trinity College Learning Innovation Centre (TCLIC) set up to actively explore possible further developments in education, with a particular emphasis on the use of technology to enhance educational outcomes.And until now, this college has become one of the excellence institution of learning.

Dan jelas, Trinity College ini dibina dan diasaskan atas nama Kristianisasi dan pastinya mereka punya agenda tersendiri @ tersembunyi yang telah dan bakal dimanifestasikan atas nama pendidikan.

Ya. Mereka sampai kepada kita melalui pelbagai cara. Muzik salah-satu wasilahnya. Melalui muzik, mereka mengingati kebenaran Tuhan dan misi Kristianisasi itu sendiri. Selain itu, melalui muzik, mereka mahu para pendengar faham dan mendpaat pengetahuan tentang Jesus Christ sekaligus menyebarkan Bible melalui muzik kepada seluruh umat manusia daari segenap pelusuk dunia.

Selain Choir of Trinity College, terdapat banyak lagi artis-artis dan pemuzik-pemuzik yang menyebarkan dakyah Kristianisasi ini melalui muzik-muzik mereka. Antaranya Gospel Gangstaz – Mr.Solo, Tik Tokk and Chille Baby. Melalui muzik, mereka membantu dan berjuang untuk saudara-saudara Kristian mereka yang terperangkap dalam kebuluran dan kekejaman. Selain itu, Brother Keeper, Jonah 33 dan Williams Sisters juga antara kumpulan-kumpulan muzik yang mempunyai agenda Kristianisasi dalam muzik mereka.

Sebenarnya terdapat pelbagai cara Kristianisasi disebarkan. Selain muzik, mereka menyebarkan dakyah mereka melalui tulisan, wasilah yang paling berkesan hatta dalam agama kita sekalipun. Contohnya Bible yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu telah dinamakan al-Kitab. Mereka memilih nama ini kerana perkataan al-Kitab itu sangat dekat dengan umat Islam. Selain itu, buku Rahsia Jalan Yang Lurus (al-Mustaqim) telah dicetak sebanyak 10 000 naskhah dan diberi secara percuma kepada remaja-remaja Islam. Buku ini telah dicetak di Johor Bahru. Mereka menggunakan ayat-ayat suci al-Quran di dalamnya tetapi tafsir ayat-ayat ini telah mereka selewengkan.

Selain itu mereka turut menggunakan kaligrafi Arab untuk menyampaikan dakyah mereka dan isi kandungan Bible. Contohnya, menulis isi kandungan Matius, Lukas dan St. Matthew dalam bentuk kaligrafi Arab seperti yang telah dilakukan oleh umat Islam. Mungkin ada sesetengah daripada umat Islam, apabila terpandang kaligrafi-kaligrafi ini, mereka menyangkakan ianya tulisan daripada al-Quran, lalu membelinya, membingkaikannya, lalu digantung di ruang tamu dan bilik. Alangkah!

Terdapat satu lagi cara mereka menyebarkan dakyah yang mungkin tidak ramai antara kita yang menyedarinya. Melalui sukan.

Ahli Gusti pujaan ramai, Stone Cold membawa slogan Live and Die By The 3:16. Dan 3:16 itu ialah The Gospel of John Chapter 3 Verse 16!

Jadi, berhati-hati dan beringat-ingatlah wahai saudara-saudaraku. Kerana Yahudi dan Kristian itu tidak akan redha dan senang duduk kecuali kita, umat Muhammad ini bersekongkol dengan mereka dan masuk ke dalam agama mereka. Nauzubillahi min zalik!

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <