Friday, February 01, 2008

QURANIC GENERATION!


26 Januari yang lepas, saya ke Darul Quran, Kuala Kubu Baru, Selangor untuk menghadiri Majlis Khatam Hafazan 30 Juzuk adik saya, Shaafiqah Idris. Alhamdulillah, berkat kesabaran, kesungguhan dan doa, adik saya yang kami panggil Alang a.k.a Sheqah itu berjaya menamatkan hafazannya. Saya sangat bersetuju dengan ucapan perasmian pengarah JAKIM. Benar, tidak mudah untuk para huffaz di zaman ini untuk berjaya menghabiskan hafalan mereka. Betapa banyak cabaran modenisasi dan dugaan yang harus mereka tempuh. Anak-anak muda ini bukan calang-calang orang kerana mereka berjaya mengawal dan menahan gejolak nafsu diri daripada terpengaruh dengan anasir-anasir buruk dan tarikan-tarikan liar dari luar yang bisa menganggu-gugat hafalan mereka. Betapa mereka telah mengorbankan hawa nafsu muda meraka semata-mata untuk menjunjung al-Quran dalam setiap hati-hati mereka. Betapa mereka harus mengawal akhlak dan peribadi serta mengawal seluruh tindak-tanduk mereka kerana ada al-Quran di dada-dada mereka yang bukan sahaja harus mereka hafal tapi memanifestasikannya dalam setiap amal dan peribadi mereka. Masya Allah! Tahniah buat para huffaz muda yang baru menamatkan hafazan mereka.

Wajah abah dan mak kelihatan berseri-seri sewaktu melihat Sheqah diarak dari kawasan masjid masuk ke dalam dewan. Mak ternyata tidak dapat menahan air matanya daripada gugur ke pipi. Dalam hati, saya tahu emak bangga dengan anak gadisnya yang kini bergelar Hafizah. Saya yakin, abah lebih-lebih lagi bangga dan bersyukur kerana penat-lelah dan jerih-payahnya mengajar kami mengenal al-Quran kini berbalas. Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata abah dan mak. Mereka tidak mahukan wang ringgit dan harta benda untuk menggembirakan mereka, cukuplah dengan kejayaan kami dan anak-anak mereka seramai 5 orang ini mampu menjadi insan-insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Masih lekat di ingatan bagaimana abah begitu serius mengajar kami al-Quran. Solat, al-Quran dan pakaian merupakan anatara perkara-perkara yang abah cukup titik-beratkan. Rotan nipis itu pasti hinggap di betis jika kami lalai dan leka. Dan dalam esak-tangis kami, abah akan datang kembali memujuk dan perlahan-lahan menyapu betis yang masih berbekas merah dengan minyak angin. Waktu itu, tentunya kami sangat marah dengan abah. Dalam hati, kami mengatakan yang abah sudah tidak menyayangi kami.

Namun kini, kami, terutamanya tiga anak gadis abah dan mak ini, harus berterima kasih atas didikan dan tunjuk ajar abah. Keseriusan abah ketika mengajar dan mendidik kami dengan didikan al-Quran, telah menjadikan kami insan-insan yang insya allah, tahu untuk menjaga dan menjunjung nama baik keluarga dan agama.

Buat abah dan emak, terima kasih kerana kalianlah guru pertama kami. Yang mengenalkan kami dengan Islam dan dusturnya, al-Quran serta yang mengajar kami dengan hemah dan tulus. Buat Sheqah, alfu mabruk alaik! Dengan gelaran Hafizah itu, kau ada tanggung jawab besar dan berat menantimu di depan, dik!
KEKUATAN AKIDAH TERAS AKHLAK MAHMUDAH
(Teks syarahan untuk Hari Pendidikan Islam Negeri Sabah- tolong member)

Bermula dari zaman Nabi Adam a.s, manusia sudah ditakdirkan untuk menjalani peringkat hidup duniawi di atas muka bumi ini. Sedari detik itu sehingga kini, manusia terus menjalani hidup dengan pelbagai cara dan peristiwa yang membentuk sejarah dan tamadun manusia. Sifat dan keperibadian manusia penuh pertentangan dan beraneka ragam. Manusia bukan makhluk sosial semata-mata malah bukan jua diciptakan untuk mementingkan diri sendiri semata-mata. Bertitik-tolak daripada inilah, maka amat perlu untuk menentukan dasar yang sempurna untuk memimpin, membentuk dan memperbaiki budi pekerti dan akhlak manusia. Adakah dasar itu ialah undang-undang, falsafah dan ideologi moral yang dicipta oleh manusia atau dasar itu ialah agama wahyu iaitu Islam yang bersandarkan akidah yang teguh dan mantap? Yang manakah benar-benar merupakan teras dan tunjang dalam pembentukan akhlak yang sempurna?

Dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Orang-orang mukmin yang lebih sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya. (Hadith riwayat al-Tarmidhi) dapat kita lihat saling kaitan yang erat antara iman dan akhlak. Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa orang yang mempunyai kesempurnaan akidah dan iman ialah orang yang mempunyai akhlak yang baik. Rasulullah sendiri mempunyai akhlak dan budi pekerti yang tinggi sehingga mampu menjadi contoh tauladan dan qudwah hasanah kepada seluruh umat manusia. Malah baginda diutuskan bukan sahaja untuk menyeru manusia ke arah mengesakan Allah tetapi jua untuk menyempurnakan akhlak manusia. Sabda baginda: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (Riwayat Bukhari, Hakim dan Baihaqi)

Akidah berasal daripada perkataan bahasa Arab a-qa-da yang bermaksud ikatan. Dari segi istilah, akidah bermaksud keyakinan dan kepercayaan kepada Allah dan rasul-Nya. Ia merupakan kepercayaan yang teguh dan mantap, tiada syak dan keraguan padanya. Kepercayaan dan keyakinan ini haruslah dizahirkan melalui amal perbuatan.

Manakala akhlak adalah kata jamak, berasal daripada perkataan Arab khulq yang memberi makna sifat dan perbuatan seseorang insan. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin mendefinisikan akhlak sebagai suatu keadaan jiwa yang matang, daripadanya menghasilkan tindakan-tindakan yang spontan dan tidak memerlukan kepada renungan dan pemikiran yang mendalam. Melalui definisi ini, menurut al-Ghazali, terdapat dua aspek yang perlu dipertimbangkan apabila membicarakan tentang akhlak. Aspek pertama ialah jiwa atau nafs, dan aspek kedua ialah tindakan-tindakan luaran.

Bagaimana kekuatan akidah Islamiyyah ini boleh menjadi teras dan tunjang kepada akhlak mahmudah?

(1) Pertama, dengan kekuatan akidah, manusia mengetahui hala tuju, tujuan dan tugasnya di atas muka bumi ini. Allah telah menciptakan seluruh alam ini dan Dia tidak menciptakannya tanpa sebab dan tujuan. Begitu juga manusia yang diciptakan oleh Allah untuk menggalas dua tugas utama iaitu sebagai hamba-Nya dan khalifah-Nya di atas muka bumi ini. Firman Allah: Tidaklah aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku. Allah berfirman lagi: Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, sesungguhnya aku ingin menjadikan khalifah di atas muka bumi (al-Baqarah:30)

Bersandarkan kepada dua tugas utama ini, maka manusia dapat mengetahui tugas dan tanggungjawabnya dengan jelas di atas muka bumi ini. Sebagai hamba Allah, kita sebagai manusia haruslah melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ini mencakupi semua aspek termasuk akhlak. Allah telah menciptakan manusia atas tujuan dan sebab tertentu, maka Dia tidak akan meninggalkan manusia terkapai-kapai tanpa arah dan pedoman. Oleh itu, Dia telah menyediakan hidayah dan petunjuk kepada manusia termasuklah menyediakan suatu sistem moral dan akhlak yang dapat dijadikan panduan oleh sekalian manusia. Manusia yang mempunyai asas dan kekuatan akidah yang teguh, percaya kepada Allah dan pembalasan-Nya di akhirat kelak pastinya akan mengikuti sistem moral dan akhlak yang telah disediakan oleh penciptanya. Namun sebaliknya, manusia yang tiada kekuatan akidah, tidak akan mengetahui tugas dan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah dengan jelas. Mereka hanya akan menurut hawa nafsu, mencari hanya kesenangan di dunia dan hidup di atas muka bumi ini semata-mata menurut bisikan hatinya.

Sebagai khalifah Allah, manusia ditugaskan untuk memakmurkan bumi. Segala yang diciptakan oleh Allah di atas muka bumi ini adalah untuk keperluan dan kesenangan manusia. Namun, sebagai khalifah-Nya, manusia tidaklah sewenang-wenangnya boleh menggunakan hak keistimewaan ini tanpa berpandukan kepada panduan dan pedoman yang telah ditetapkan oleh Allah. Manusia yang mempunyai asas kekuatan akidah yang teguh, akan sentiasa mengingati bahawa setiap amal perbuatannya akan dihitung oleh Allah. Dia akan sentiasa menjaga baik hubungannya dengan Allah, hubungannya sesama manusia dan hubungannya dengan makhluk Allah yang lain. Menjaga baik hubungan-hubungan ini termasuklah berakhlak dengan akhlak mahmudah sesama insan, contohnya tolong-menolang, bertolak ansur dan saling menasihati.

(2) Kekuatan akidah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan akhlak mahmudah. Seperti yang dinyatakan, terdapat dua aspek yang perlu dipertimbangkan apabila membicarakan tentang akhlak. Aspek pertama ialah jiwa atau nafs, dan aspek kedua ialah tindakan-tindakan luaran.

Ibn Miskawayh, al-Tusi dan al-Ghazali meyakini bahawa terdapat hubung kait yang amat rapat di antara keadaan jiwa dan tindakan luaran atau perbuatan. Sekiranya keadaan jiwa itu tidak tenang, berserabut dan sakit, ia akan menghasilkan tindakan luaran yang janggal dan tidak bermoral. Sebaliknya jika jiwa seseorang itu tenang dan sihat, ia akan menghasilkan tindakan luaran yang sihat dan bermoral. Oleh itu jiwalah yang perlu dididik dengan sebaik-baiknya untuk mencapai hasil akhlak yang terpuji. Jadi, bagaimanakah jiwa ini perlu dididik?

Didikan jiwa ini tentunya didikan akidah Islamiyyah yang dibawa oleh para rasul yang menjadi teras kepada akhlak mahmudah. Akidah yang teguh berperanan untuk menyucikan hati dan jiwa. Dengan kekuatan tawhid dan akidah, manusia akan merasa persamaan antara sesama manusia di hadapan Tuhan. Maka tidak akan timbul perasaan egoistik, riak dan tirani kerana semua manusia percaya bahawa kekuasaan mutlak hanyalah milik Allah semata-mata. Tanpa perasaan egois dan individualistik ini, akan lahir masyarakat yang berakhlak mulia dan bersatu padu serta hidup dalam keadaan damai dan harmoni.


(3)Orang beriman mengetahui sifat-sifat kesempurnaan Tuhan. Oleh itu dia akan berusaha bersungguh-sungguh menurut kekuatannya sebagai seorang manusia supaya dapat meneladani sifat-sifat ketuhanan itu. Allah itu Maha Mengetahui dan Bijaksana, lalu dia berusaha pula supaya mempunyai ilmu dan kebijaksanaan menurut kadar kekuatannya sebagai manusia. Allah itu Maha Pengampun dan Penyayang, lalu dia berusaha supaya mempunyai sifat santun dan penyayang. Allah itu Maha Kaya dan Maha Pemurah, lalu dia berusaha mencukupkan segala keperluan dan suka berkorban dengan apa yang ada padanya. Begitulah jua dengan sifat-sifat Allah yang dapat diketahui dalam al-Quran dan Hadith. Maka diusahakannya supaya dirinya disinari dengan sifat-sifat ketuhanan itu. Dengan demikina, dia dapat mendekatkan dirinya dengan Tuhan dan hidup dalam amal soleh yang diredhai Tuhan. Ini dapat dilihat melalui firman Allah dalam surah al-Hijr:29. Manusia itu telah ditiupkan oleh Allah ruh-Nya ke dalam jasad manusia. Maka orang yang beriman dan mempunyai kekuatan akidah akan menyakini bahawa dalam dirinya terdapat sifat-sifat kesempurnaan yang baik yang mampu ditonjolkan melalui akhlak mahmudah.


(4)Orang beriman yang mempunyai akidah yang mantap akan sentiasa mencontohi peribadi dan akhlak Rasulullah S.A.W. Firman Allah: Sesungguhnya Rasulullah itu menjadi contoh teladan yang baik bagi kamu. (al-Ahzab:21)

Peribadi Rasulullah merupakan contoh teladan kepada sekalian umat manusia. Ini kerana sebagai nabi dan utusan Tuhan, baginda merupakan orang yang paling mengetahui tentang agama yang dibawanya iaitu Islam dan bagindalah yang paling sempurna dalam mengamalkan ajaran Islam. Maka sebagai umat baginda yang kasih kepadanya, seharusnya kita mencontohi peribadi dan akhlak yang dimiliki baginda. Selain itu, sebagai seorang muslim, selain kita harus taat kepada Allah, kita juga harus patuh dan mengikut jejak langkah orang yang menjadi utusan-Nya iaitu nabi Muhammad S.A.W. Kemulian dan keluhuran akhlak baginda tidak sahaja diakui oleh manusia sehingga baginda mendapat julukan al-Amin, tetapi Allah yang mengutusnya sendiri juga mengakui hal ini. Firman Allah: Sesungguhnya engkau (hai Muhammad) memiliki budi pekerti yang luhur. (Al-Qalam:4)

Terdapat banyak peristiwa yang menggambarkan ketinggian budi pekerti dan akhlak Rasulullah. Baginda tidak pernah menyusahkan ahli keluarganya dalam soal makan dan minum atau dalam soal-soal yang lain. Pada waktu lapar, baginda hanya bertanya: Adakah makanan pada kamu? Kalau ada, baginda akan makan, dan apabila tiada baginda diam.

Tentu sahaja orang beriman yang mempunyai kemantapan akidah akan cuba sedaya upaya untuk mencontohi akhlak mahmudah dan peribadi mulia Rasulullah ini untuk membuktikan kecintaan mereka kepada baginda.

(5)Kekuatan akidah dapat membataskan manusia daripada melakukan perbuatan yang dilarang Islam. Selain itu akidah yang mantap dapat mengelakkan diri manusia daripada mengikut hawa nafsu yang terus-terusan mengajak mereka berakhlak dengan akhlak mazmumah. Mereka yang mempunyai asas kekuatan akidah yang teguh akan sentiasa merasa dan menyakini bahawa Allah mengawasi gerak-geri mereka dan Dia tahu apa sahaja yang mereka lakukan sama ada secara terang-terangan ataupun di tempat yang tersembunyi daripada pandangan orang lain. Al-Maududi dalam bukunya Pandangan Akhlak Islam mengatakan bahawa teras kepada sistem moral Islam ialah Tawhid iaitu percaya kepada keesaan Allah. Apabila teras dan dasar akidah ini kukuh, ia sekaligus menjadikan manusia untuk lebih menghayati prinsip akhlak Islam yang dapat menjadi pedoman dan panduan hidup mereka di atas muka bumi ini. Sebaliknya, mereka yang tidak mempunyai asas akidah yang teguh akan terumbang-ambing kerana kehilangan arah dan panduan serta hanya menurut hawa nafsu dan bisikan syaitan. Inilah yang terjadi kepada para remaja yang hanyut dan terbuai dengan kehidupan dan keseronokan duniawi sehingga mereka alpa dan lalai bahawa kehidupan di dunia ia hanyalah sementara cuma.


(6) Dengan kekuatan akidah yang utuh, sistem moral atau ideologi luaran ciptaan manusia yang dikatakan mampu menjadi kayu ukur dan penentu kepada batas-batas moral dan akhlak seseorang individu atau sesebuah masyarakat secara automatisnya tertolak. Ini termasuklah falsafah post-modernism (pasca moden) yang mempunyai bermacam-macam trend seperti aliran de constructionism dalam agama Kristian, Structuralism, Relativism dan lain-lain lagi. Falsafah ini adalah kemuncak daripada proses sekularisasi yang wujud dalam agama Kristian. Kemuncak daripada proses sekularisme ini ialah apabila seorang ahli falsafah German, Fredrick Nietzsche (m.1900) mengisytiharkan tuhan telah mati (God is dead) lantas meruntuhkan (de construct) nilai-nilai yang diasaskan oleh agama. Sebaliknya akal semata-mata dan sains yang membentuk era modenisme mampu menangani masalah-masalah manusia sejagat (termasuk masalah-masalah moral) bukan lagi wahyu dan agama.

Walaupun Nietzsche bukanlah pengasas aliran de construction namun beliau merupakan titik-tolak bermulanya penolakan total terhadap peranan wahyu dan agama dalam kehidupan manusia. Dalam salah satu definisi post-modernism yang diberikan oleh tokoh-tokohnya ialah “incredulity towards meta-narrative” atau kesangsian terhadap agama (meta-narrative) menjelaskan lagi tentang penolakan total terhadap peranan agama dan wahyu. Lantas menolak setiap nilai-nilai agama yang ada di dunia ini dan membenarkan apa sahaja nilai sama ada baik atau buruk termasuk kesyaitanan untuk diamalkan oleh manusia. Hal ini dilaungkan oleh tokoh-tokoh seperti Jacques Derrida, Jean-François Lyotard Lyotard, Habermas, Foucault dan lain-lain lagi.

Namun, manusia yang mempunyai keyakinan akidah yang utuh, tidak akan sesekali terpengaruh dengan slogan anti-agama dan anti-wahyu yang dilaungkan oleh ideologi moden hari ini. Penolakan total terhadap agama dan wahyu akan menciptakan suatu dunia yang huru hara dan masyarakat yang hidup tanpa landasan undang-undng dan batasan. Berapa banyak ideologi dan falsafah moral yang telah dicipta oleh manusia telah dipinda-pinda dari masa ke masa mengikut citarasa, keadaan dan kehendak mereka. Tiada suatu sistem moral ciptaan manusia yang universal dan menepati kehendak dan kehidupan setiap individu. Ini kerana manusia menciptakan sesuatu berdasarkan tingkat akal mereka yang terbatas dan lebih malang lagi kebanyakannya pula menciptakan sesuatu menurut hawa nafsu dan kemahuan mereka demi kesenangan sendiri dan agenda tertentu. Namun sebaliknya sistem moral dan akhlak yang telah diciptakan oleh Tuhan yang menciptakan manusia adalah lengkap dan universal. Tuhan tidak akan meninggalkan manusia yang diciptanya terkapai-kapai tanpa pedoman dan arah tujuan. Maka sudah tentu Dia akan menyediakan suatu sistem moral dan akhlak yang menepati fitrah manusia itu sendiri.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa kekuatan akidah merupakan teras akhlak mahmudah. Akhlak yang mulia merupakan jati diri kepada Islam. Ia merupakan roh yang mengalir dan boleh ditemui di segenap sudut pengajaran agama yang telah disempurnakan citra dan pembinaannya oleh Rasulullah S.A.W. Dalam konteks negara kita yang sedang berjuang untuk lahir sebagai sebuah negara maju bersandarkan modal insan yang cemerlang, kita perlu mengorak langkah sedaya upaya untuk kembali menghayati dengan setepatnya tradisi dan pengajaran agama dari segenap sudut terutama tunjang agama iaitu akidah. Adalah suatu yang cukup malang bagi kita, umat Islam, sekalipun kita menganuti agama yang jelas ditunjangi oleh nilai-nilai akhlak yang mulia, namun sebhagian besar daripada kita sedang terperangkap dalam kemelut keruntuhan akhlak. Ini suatu kegagalan yang menyedihkan seperti yang diungkap oleh al-Maududi, sebahagian besar umat Islam masa kini memilih untuk berjalan dalam kegelapan, walaupun mereka sebenarnya memiliki cahaya yang terang benderang yang tersedia dalam agama mereka.

Wallahu’alam.

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <