Sunday, May 29, 2005

TELAH DIBERINYA HATI


Pengalaman adalah guru yang paling mendidik- yang bisa mendewasakan dan bisa mematangkan. Sungguh! Saya belajar banyak daripada pengalaman. Sewaktu saya dilanda ujian paling besar dalam hidup saya, saya selalu berkata ke dalam diri, ke dalam hati- Anggap ujian ini seperti sebuah sekolah. Ya, sekolah! Sekolah hidup. Ia bakal mengajar kau tentang banyak perkara.

Berkenalan dengan sang osteosarcoma, kemoterapi, biopsy, berkelana setahun di Wad Orthopedik (9U) Hospital Universiti Malaya, berkongsi senyum dan dura dengan kawan-kawan di 9U, juga berbalas cerita dengan doktor dan jururawat di 9U tentunya sesuatu yang banyak mengajar. Ya! Mengajar tentang apa itu erti sabar, redha, pasrah. Mengajar kita mengukur setinggi mana nilai persahabatan, mengajar kita menjadi manusia tabah mendepani kematian, mengajar kita menghargai kasih sayang seorang ibu dan ayah. Mengajar kita banyak perkara dan nilai!

Setiap kali saya menulis, saya tidak pernah lupa guru saya ini. Dan mungkin kerana kejapnya ia terlekat di hati dan rasa, maka tulisan-tulisan saya acap kali menyentuh perihal ini. Wad-Doktor-Pesakit.

Saat gering sering membuatkan kita mengakrabi Tuhan. Ia guru yang mampu mendidik dan selalu benar mampu merubah peribadi seseorang kepada yang lebih baik andai kita benar-benar redha dengan ketentuan Ilahi dan mahu belajar sesuatu daripadanya.

Telah Diberinya Hati- lahir dari segenap rasa dan sejernih hati. Menulisnya dengan harapan agar hati terdidik sentiasa mengingati Tuhan, tidak kira tika suka mahupun duka. Ia memang berbaur agak romantis, tetapi ketika menulisnya, saya benar-benar mahu menghantar sesuatu ke hati pembaca. Satu harapan saya- Baca dan nilailah ia dengan hati yang jernih dan bersih. Anda akan ketemu sesuatu di dalamnya.

Semoga sekeping hati yang dikurniai Tuhan kepada kita ini sentiasa melimpah dengan kasih sayang dan sentiasa disirami dengan cahaya keimanan dan ketaqwaan. Mudah-mudahan. Ameen.


****

Tahniah kepada para pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2004.


No comments:

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <