Friday, June 22, 2007

ANEKDOT MINGGU INI


1. CUTI

Saya sedang bercuti. 3 minggu. Banyak sebenarnya masa senggang yang ada. Justeru tidak harus dibazirkan dengan hanya nonton tivi sepanjang waktu atau melepas lelah di kamar sepanjang sore. Harus saya gunakan sepenuhnya cuti kali ni dengan membaca dan menulis:)

Seperti kata Dr. Aidh al-Qarni dalam buku terlarisnya, La Tahzan- gantilah masa luang anda dengan bekerja. Banyak rehat merupakan suatu kelalaian, pengangguran merupakan pencuri profesional, sementara akal fikiran anda adalah mangsa empuk yang akan dihancurkan oleh bayangan peperangan yang tidak ada membawa faedah ini. Maka seperti saranannya, hai orang-orang yang bercuti, berdirilah sekarang, lakukanlah solat, bacalah, ucapkanlah tasbih, pelajarilah buku atau lain-lainnya agar anda dapat mengatasi segala bentuk pengangguran dan kekosongan waktu. Sembelihlah kekosongan waktu dan pengangguran dengan pisau aktiviti.


2. WANITA PINTAR, LELAKI GENTAR

Antara salah satu rancangan kegemaran saya di tivi ialah Wanita Hari Ini. Setiap kali cuti, saya jarang-jarang sekali melepaskan peluang mengikuti topik perbincangan WHI ini. Topik semalam, Wanita Pintar…Lelaki Gentar ternyata sangat menarik untuk didiskusikan. Namun seharusnya kita terlebih dahulu mendefinisikan apakah makna pintar tersebut. Apakah yang dimaksudkan dengan wanita pintar? Adakah pintarnya seorang wanita itu diukur dari segi pencapaian akademiknya, kejayaannya dalam kerjaya dan profesionnya, atau pintarnya seorang wanita itu diukur dari segi sejauh mana dia bijak menguruskan diri dan rumah tangganya, atau pintarnya wanita itu diukur dari segi bijaknya wanita itu membawa diri dan tahu menyesuaikan dirinya dalam apa jua keadaaan, tempat dan masa?

Apapun definisinya, bagi saya, seorang lelaki tidak seharusnya merasa gentar atau takut dengan wanita yang digelar pintar itu. Malahan lelaki seharusnya merasa bertuah seandainya dia dikurniakan seorang bos, sahabat, lebih-lebih lagi seorang isteri yang pintar. Gunakanlah kepintarannya itu, berkongsilah dengannya, belajarlah daripadanya. Anda tidak akan rugi apa-apa malahan tidak akan ada secebis pun daripada ego anda itu yang akan luruh andai anda sama-sama berkongsi pendapat dan pandangan, kerana bagi saya kepintaran seseorang itu tidak sempurna 100 peratus. Mungkin anda pintar dari satu segi, dan si wanita pintar pula dari segi yang lain, maka kita sama-sama saling melengkapi. Bukankah sememanganya wanita dan lelaki itu dijadikan untuk menjadi pakaian dan saling melengkapi antara satu dengan yang lain?

Cumanya, wanita pintar tidak seharusnya menggunakan kepintarannya secara melampaui batasan. Maksud saya, pintar itu harus diletakkan di tempat yang sewajarnya. Sepintar mana pun anda, aduhai wanita, anda masih tetap seorang wanita. Wanita tetap seorang wanita walau sebagaimana hebatnya dia di pentas akademik mahupun kerjayanya. Dia masih lagi seorang isteri yang harus taat dan patuh kepada seorang suami dan masih lagi seorang ibu yang harus mengurusi anak-anak dan hal-ehwal rumah tangganya. Malahan antara ciri-ciri wanita solehah ialah taat kepada Allah dan taat kepada suami. Seperti mana sabda Rasulullah S.A.W- Sebaik-baik wanita ialah jika kau pandang ia menyenangkanmu, jika kau perintah ia mentaatimu, jika kau tinggalkan ia menjagamu dalam hal harta dan menjaga dirinya.

Maka di sinilah sebenar-benarnya kepintaran itu harus disalurkan.


3. BAGAIMANA MALAYSIA DI MASA DEPAN

Mak balik bawa cerita menakutkan (lagi). Cerita dari sebuah sekolah rendah di Perlis. Seorang murid darjah 4 bawa kondom ke kelas. Sebelumnya mak pernah bawa balik cerita murid-murid tahun 6 tengok VCD lucah di salah sebuah rumah murid Tingkatan 1. Ditambah lagi dengan cerita murid-murid mencuri dan ponteng sekolah.

Perasaan saya bercampur baur. Tergamam, marah, ngeri, jelek. Saya takut tika memandang ke masa depan. Bagaimana nanti keadaan Malaysia di masa depan. Adakah kita hanya mementingkan pembangunan materi, bina bangunan tingi-tinggi, terkenal di mata pelancong, ekonomi negara memberansangakan tetapi pembangunan sahsiah dan rohani kita gagal dan tercorot!

Ya Allah! Takut bila saya memikirkannya. Mereka cuma anak kecil yang baru sahaja melewati umur 10 dan 12! Bersekolah di negeri yang ibu negerinya, Kangar, cuma seperti sebuah pekan kecil di negeri-negeri lain di Malaysia, mereka sudah berani melakukan itu. Bagaimana pula halnya dengan anak-anak di bandar-bandar besar yang lain?

Anak-anak ini suatu hari akan membesar menjadi remaja. Mereka ini bakal berhadapan dengan pelbagai perkara negatif dan merosakkan. Entah bagaimana harus mereka mendepani semuanya andai bentang iman masih belum terbina?

Benarlah. Melentur buluh itu biarlah dari rebungnya.


4. PESTA MAKANAN

Suatu kegilaan mat-mat saleh ialah mengadakan pesta makanan. Mereka mengadakan pesta membaling tomato dan membaling pai setiap tahun. Bertan-tan tomato dibazirkan di atas jalan raya. Dipijak-pijak. Diramas-diramas lalu dibaling. Ia tak ubah seperti perlawanan baling-membaling bola cuma bezanya yang dibaling itu ialah MAKANAN.

Di suatu sudut dunia, ada manusia yang berpesta kerana terlalu banyak makanan. Dan di suatu sudut lagi, ada manusia yang menderita kerana tidak ada makanan.


5. TAHNIAH

Tahun ni tahun orang kawen. Kawan-kawan penulis saya pun ramai yang melangsungkan perkahwinan. Tahniah saya ucapkan. Semoga kalian berbahagia dan mendapat keredhaan daripada-Nya melalui akad suci yang telah terbina. Tahniah buat teman-teman seangkatan- Amiza Khusyri dan isteri, Ida Munira dan suami serta Dahrie dan isteri.

Tahniah jua buat teman-teman penulis yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006 yang bakal dilangsungkan pada 26 hb nanti. Teringat kenangan masa HSKU 2003 dan 2004 dulu. Saya tumpang berbangga dan sangat-sangat CEMBURU. Hehe…

No comments:

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <