Wednesday, April 27, 2005

Perjuangan Wanita Ikhwanul Muslimin.
(Zainab Al-Ghazali)
Thinkers Library Sdn Bhd, 1988


Bermula dari kamar 22 gerabak S1 keretapi Ekspres Langkawi hingga ke UIA, saya menguliti sebuah buku kecil yang saya ketemu sewaktu menyelongkar buku-buku abah di rumah. Saya belum habis melumati catatan kisah panjang perjuangan Zainab Al-Ghazali Al-Jabili ini. Zainab Al-Ghazali merupakan Ketua Umum Jammah Muslimah yang telah mengalami penyeksaan maha dahsyat di penjara sewaktu pemerintahan Gamal Abdel Naser. Beliau bersama Sayid Qutb, Abdul Fattah Abduh Ismail, Muhammad Yusuf Huways dan para pendidik di Darul Arqam telah ditangkap pada Ogos 1965. Dalam buku ini, Zainab Al-Ghazali melakarkan kembali proses penyiksaan dan kekejaman yang terpaksa dilaluinya selama hampir 6 tahun. Tentu saja sesiapa yang membaca tulisan ini akan berasa kagum dengan keimanannya kepada Allah dan keberaniannya menegakkan kebenaran. Srikandi Islam ini turut mengajar saya tentang erti keikhlasan terhadap persahabatan. Betapa beliau tidak sanggup mengkhianati Sayid Qutb dan Al-Hudhaibi meski ditawarkan jawatan menteri dan pelepasan dari seksaan.

Dia ditawar dengan jawatan menteri, pelepasan dari seksaan, diseksa dengan belati sebanyak 500 kali sehari, dibiarkan berhari-hari dalam sel yang dipenuhi air, dilepaskan dalam sel yang dipenuhi anjing-anjing liar dan tikus, dimaki dengan kata-kata penuh keji, diugut untuk diperkosa dan lain-lain penyeksaan yang tak terbayangkan oleh akal waras manusia. Namun kesemua bentuk penyiksaan ini tidak dapat menggugah keimanannya kepada Allah dan keberaniannya dalam mempertahankan perjuangannya.

Membaca siri-siri penyeksaan yang dialaminya, saya teringat cerpen tulisan Helvy Tiana Rosa, Maut di Kamp Loka- kisah survival para muslimah yang ditangkap dan disumbat dalam penjara yang penuh dengan seksaan dan kezaliman. Namun tentunya tulisan Zainab Al-Ghazali ini lebih menggugah jiwa saya kerana ia ditulis berdasarkan pengalamannya sendiri. Subhanallah! Kesabaran dan keberanian srikandi Islam ini banyak mengajar saya tentang erti pengabdian dan kecintaan yang sebenar kepada Allah S.W.T.

"Ya Allah! Apabila Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli apa pun yang terjadi. namun perlindungan-Mu jauh lebih melapangkan daku. Aku berlindung dengan sinar wajah-Mu yang menerangi segala kegelapan memperbaiki segala urusan dunia dan akhirat. Jangan sampai aku terkena marah atau tertimpa murka-Mu. Kepada-Mu sajalah aku panjatkan keluh kesahku ini demi redha-Mu dan tiada keampuhan dan kekuatan kecuali dengan Engkau!" (Zainab Al-Ghazali)
(Ghafirah : Sedang baca jilid kedua daripada novel quartet, Mohd Affandi Hassan)

Thursday, April 21, 2005

12 Rabiul Awal


Suatu pagi nan bening
12 Rabiul Awal Tahun Gajah
terbit suatu cahaya terang
dari jazirah yang diselubungi zulumat.

Lahirlah, dalam pelukan tanah Hijjaz
insan mulia penyuluh kebenaran
wira buana penyampai wahyu
mencerminkan kebenaran dalam pengertian dan kata-kata
diliputi kebaikan dan senyuman.

Muhammad Ya Rasulullah
pada kehalusan budi pekerti
dirimu bak purnama dalam keagungan
samudera dalam kemuliaan.

Selawat dan salam buatmu
kekasih junjungan
mencintaimu tanpa batas ruang dan waktu.

Ghafirah Idris
Beseri, Perlis
12 Rabiul Awal 1426H


**************

Adik-adikku sayang

Selamat ber Taaruf Week buat angah yang sedang menjalani sesi orientasi pelajar-pelajar baru UIA. Semoga lebih cemerlang!

Selamat menempuh alam baru buat Shaafiqah yang bakal melanjutkan pelajaran ke Darul Quran, Kuala Kubu Baru (Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat) pada 14 Mei nanti. Semoga dirimu sentiasa diredhai-Nya!

Selamat berjaya buat adik Miqdad yang mengetuai kontinjen nasyid kawasan Pendidikan Paya ke Pertandingan Nasyid Peringkat Negeri Perlis pada 23 April nanti.

Bittaufiq wannajah!


(Ghafirah : Dah nak kena balik UIA 23hb ni)

Monday, April 18, 2005

OKU. Di mana hak mereka?




Perasaan saya bercampur-baur ketika membaca petikan akhbar berkenaan adik Nor Hedayah, pelajar Tingkatan 1 Sek. Men. Keb. Kubang Rotan, Alor Setar yang kudung kaki tidak dapat meneruskan pengajiannya ke Tingkatan 2 kerana ketidakupayaannya. Alasannya semata-mata kerana tidak mahu menyusahkan guru dan rakan-rakan membantunya berikutan kelas Tingkatan 2 terletak di tingkat atas sekolah berkenaan. Saya terfikir, tidak bolehkah kelas Tingkatan 2 itu dipindahkan ke bangunan bawah? Sukar sangatkah prosedurnya sehingga sanggup menafikan hak mendapat pendidikan untuk gadis malang ini?

Kesusahan dan ketidakselesaan ini, saya yakini, jarang diperhatikan oleh mereka yang mempunyai fizikal sempurna. Malah, saya percaya, ramai antara kita yang kurang memberi perhatian terhadap kesusahan golangan ini. Kita terlalu ego memikirkan perihal masing-masing, hidup secara nafsi-nafsi sehingga lupa dan mengabaikan insan yang kurang bernasib baik ini.

Diakui, kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di negara kita amat kurang. Kemudahan-kemudahan awam yang tersedia kebanyakannya tidak mesra OKU sama ada di sekolah, pusat pengajian tinggi, bangunan-bangunan lain dan kenderaan awam. Hak golongan ini sentiasa dinafikan hatta untuk mendapat pendidikan yang sempurna.

Seharusnya, setiap bangunan menyediakan kemudahan khusus untuk golongan ini seperti tandas duduk, laluan khas (contohnya laluan untuk orang berkerusi roda dan yang menggunakan topang), penyediaan lif atau tangga bergerak untuk bangunan-bangunan melebihi 2 tingkat, tempat solat khas di masjid-masjid ( seperti penyediaan kerusi di tempat solat, tempat solat di tingkat bawah dan tandas khas), sistem pengangkutan awam dan pusat beli-belah yang mesra OKU dan lain-lain.

Cadangan saya, untuk perancangan jangka masa panjang, mereka yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ini boleh menyediakan borang kaji selidik atau meminta golongan OKU ini mengemukakan pandangan dan cadangan - apakah kemudahan-kemudahan tertentu yang mereka inginkan untuk membolehkan mereka hidup dengan sempurna - merasa bahawa hak mereka tidak terabai dan dinafikan.

Saya percaya, golongan ini tidak meminta layanan istimewa diberikan kepada mereka, cukuplah sekadar masyarakat memahami masalah dan kesusahan yang terpaksa dihadapi. Sesungguhnya, mereka juga sebahagian daripada kita.
(Ghafirah : Haruskah manusia berbangga dan ego dengan kesempurnaan yang kononnya hak mereka sedangkan semuanya hanya pinjaman daripada Allah semata? )

Saturday, April 16, 2005

BERAT MATA MEMANDANG, BERAT LAGI BAHU YANG MEMIKUL


Ketika membelek-belek naskhah pengenalan majalah terbaru keluaran Karangkraf Sdn. Bhd, Majalah E-Baca, saya tertarik untuk membaca kolum Wow Peliknya. Artikel pendek tentang alat The Empathy Bell Pregnancy Stimulator membuatkan saya teringat akan Mr. Lee Mingwei (Rujuk blog hudasoid dalam entrinya Melawan Sunnatullah). Mr. Lee merupakan lelaki pertama yang mengandung atau boleh saya katakan sengaja meminta untuk dimengandungkan.
Alat ini seperti baju panas lelaki dengan berat 16 kg. Ketika seorang lelaki memakainya, dia akan kelihatan seperti perempuan yang sarat mengandung dan akan merasai sendiri ketidakselesaan fizikal semasa wanita mengandung.
Mungkin Mr. Lee boleh mencuba alat ini terlebih dahulu tanpa perlu "berbangga" menjadi The First Pregnant Man @ The First pregnancy which against God's Law.
Saya petik sedutan wawancaranya bersama Janice Versalius, daripada majalah PaperVeins yang saya simpulkan petikan katanya ini sebagai tuntutannya terhadap persamaan hak antara lelaki dan wanita- persamaan hak untuk mengandung yang sememangnya tidak dapat diterima oleh insan yang punya Iman dan berakal waras.
Why shouldn't men carry children and care for a fetus the same way a women does? Why shouldn't a man bear a burden that women have always carried? On the other hand, why shouldn't a man be able to experience the same joy and excitement that a pregnant woman feels nurturing a child within her own body? Now I think men, as well as women, have more choices, more possibilities, more roles they can assume in their lives.
(Ghafirah : I believe men and women both have roles, that's the way we were intended to be.)

Friday, April 15, 2005

Sasterawan-Tentera dan Kombat Yang Panjang
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya memulakan kembali penulisan saya di blog.

Sejak beberapa bulan yang lalu, saya menghentikan segala kegilaan menulis- di blog mahupun di media cetak. Alasannya saya sendiri kurang pasti- bercampur-baur hingga terkadang saya sendiri jadi keliru. Maaf atas kesusahan dan ketidaksenanganhati sesetengah pihak.

Sepanjang period "rehat" itu, saya lebih senang jadi pemerhati- pembaca. Sepanjang cuti kali ini, saya banyak merapati Dewan Sastera- membaca dari helai ke helai membuatkan saya berfikir sendiri. Tidak mudah untuk seorang penulis menyalin setiap rinci kehidupan masyarakat lalu diterjemahkan dalam susunan huruf-huruf roman untuk tatapan pembaca. Mereka harus kuat memerhati, menelaah, bertanya, berfikir, seterusnya melalui proses terakhir iaitu menulis. Penulis dikatakan sebagai sosialis dan cendekiawan masyarakat, pengkritik, pemikir, penyelesai masalah, mujahidin bersenjatakan pena, pendakwah, penyampai ide juga sebagai wadah perantara seharusnya punya persiapan tertentu ke arah memperkembangkan ide dan pandangan mereka.

Tentunya, sebagai penulis yang berpegang kepada dua kalimah syahadah, saya senang sekali membaca tulisan Sdr. Faisal Tehrani dalam artikelnya Sastera Islam Setelah 11 September (Dewan Sastera, April 2005). Beliau menulis tentang persiapan sasterawan-tentera untuk satu “kombat” yang panjang- persiapan masyarakat Islam berjihad melalui sebatang pena. Saya pernah membaca tulisan Abang Faisal tentang Sasterawan-Tentera ini dalam artikelnya di Mingguan Malaysia dan kali ini beliau mengulangi kembali noktah-noktah penting persiapan penulis Muslim yang digelarnya sasterawan-tentera.

Mungkin saya boleh simpulkan persiapan-persiapan dasar yang harus ada pada sasterawan-tentera (yang juga harus ada pada setiap Muslim) kepada tiga noktah penting :

1) Pandangan dunia Tauhid- bahawa semua yang ada dan dipunyai di muka bumi ini hanya pinjaman dan kekal sebagai milik Allah semata. Seorang penulis harus mempunyai spiritual Islam yang bertunjangkan Al-Quran dan Al-Sunnah. Spiritual Islam ini, menurut Seyyed Hossein Nasr, hanya lahir dari seniman yang taat jiwanya kepada Allah.

2) Melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan memantapkannya dengan ketaqwaan- Tentunya bagi seorang sasterawan-tentera harus mempunyai kekuatan menguasai ilmu pengetahuan dalam menyerang balas segala dakyah-dakyah songsang dan sesat. Harus diingat, bahawa dengan ilmu pengetahuanlah, para Orientalis melaksanakan perang saraf terhadap umat Islam. Dan kemunduran umat Islam hari ini sering dikaitkan dengan lompangnya akal dan jiwa mereka daripada ilmu.

3) Amal Soleh- Sasterawan-tentera harus bijak memilih ilmu dan tahu bagaimana untuk memanfaatkannya.


(Ghafirah: Mudah-mudahan roh Sasterawan-Tentera ini mampu merebak dan meresap ke segenap penjuru hati sekalian umat Muhammad. Ameen)


Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <