Monday, April 18, 2005

OKU. Di mana hak mereka?




Perasaan saya bercampur-baur ketika membaca petikan akhbar berkenaan adik Nor Hedayah, pelajar Tingkatan 1 Sek. Men. Keb. Kubang Rotan, Alor Setar yang kudung kaki tidak dapat meneruskan pengajiannya ke Tingkatan 2 kerana ketidakupayaannya. Alasannya semata-mata kerana tidak mahu menyusahkan guru dan rakan-rakan membantunya berikutan kelas Tingkatan 2 terletak di tingkat atas sekolah berkenaan. Saya terfikir, tidak bolehkah kelas Tingkatan 2 itu dipindahkan ke bangunan bawah? Sukar sangatkah prosedurnya sehingga sanggup menafikan hak mendapat pendidikan untuk gadis malang ini?

Kesusahan dan ketidakselesaan ini, saya yakini, jarang diperhatikan oleh mereka yang mempunyai fizikal sempurna. Malah, saya percaya, ramai antara kita yang kurang memberi perhatian terhadap kesusahan golangan ini. Kita terlalu ego memikirkan perihal masing-masing, hidup secara nafsi-nafsi sehingga lupa dan mengabaikan insan yang kurang bernasib baik ini.

Diakui, kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di negara kita amat kurang. Kemudahan-kemudahan awam yang tersedia kebanyakannya tidak mesra OKU sama ada di sekolah, pusat pengajian tinggi, bangunan-bangunan lain dan kenderaan awam. Hak golongan ini sentiasa dinafikan hatta untuk mendapat pendidikan yang sempurna.

Seharusnya, setiap bangunan menyediakan kemudahan khusus untuk golongan ini seperti tandas duduk, laluan khas (contohnya laluan untuk orang berkerusi roda dan yang menggunakan topang), penyediaan lif atau tangga bergerak untuk bangunan-bangunan melebihi 2 tingkat, tempat solat khas di masjid-masjid ( seperti penyediaan kerusi di tempat solat, tempat solat di tingkat bawah dan tandas khas), sistem pengangkutan awam dan pusat beli-belah yang mesra OKU dan lain-lain.

Cadangan saya, untuk perancangan jangka masa panjang, mereka yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ini boleh menyediakan borang kaji selidik atau meminta golongan OKU ini mengemukakan pandangan dan cadangan - apakah kemudahan-kemudahan tertentu yang mereka inginkan untuk membolehkan mereka hidup dengan sempurna - merasa bahawa hak mereka tidak terabai dan dinafikan.

Saya percaya, golongan ini tidak meminta layanan istimewa diberikan kepada mereka, cukuplah sekadar masyarakat memahami masalah dan kesusahan yang terpaksa dihadapi. Sesungguhnya, mereka juga sebahagian daripada kita.
(Ghafirah : Haruskah manusia berbangga dan ego dengan kesempurnaan yang kononnya hak mereka sedangkan semuanya hanya pinjaman daripada Allah semata? )

No comments:

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <