Wednesday, June 22, 2005

KEMBARA KE MANA?


Ketika menghulurkan Advencer Si Peniup Ney dan Detektif Indigo yang saya beli sebelum majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2004 bermula, dia tersenyum kecil sambil mengenalkan saya kepada ibunya yang duduk bersebelahannya- Ini anak murid saya, katanya.

Dia mencatat sesuatu di halaman depan kedua-dua novel, sambil saya meminta izin mengambil gambar bersamanya. Nanti gambar ni nak masuk blog ya, Ghafirah? Dan kami ketawa.

Catatan pendek hoca saya di kedua-dua buah novelnya yang memenangi tempat pertama dan kedua kategori novel Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2004 itu benar-benar membuatkan saya teruja untuk membaca kedua-dua naskhah novel daripada tangan beliau- Faisal Tehrani.

Malam itu, dalam ripuh dan keriuhan suara penumpang-penumpang keretapi Ekspres Langkawi (Gerabak S1) ke Arau, Perlis, saya tenggelam dalam pengembaraan bersama Ustaz Sulaiman- ustaz muda seusia 18 tahun, bersama Harun, Daud, Hud dan 37 sahabat jinnya yang lain ke negeri Fantasia, negeri yang berpegang kepada mazhab hedonisme, yang hidup remajanya hanyalah untuk berseronok-seronok, bermewah-mewah dan berhibur semata-mata.

Terbang dari satu awan ke satu awan bersama Ustaz Sulaiman dan 40 sahabat jinnya, saya tiba ke negeri Fantasia yang diperintah oleh Jin Bertindik Satu. Dek kerana negeri Fantasia itu bahasanya hanyalah muzik dan hidupnya sehari-hari tidak ada hala tuju, kecuali nyanyian sahaja, maka Ustaz Sulaiman telah menawarkan souti sarmad- satu bunyi, satu suara yang bersumberkan Tuhan, muzik yang membawa kita mengingati Tuhan dan kembali kepada destinasi akhir kehidupan, iaitu Allah.

Di hadapan Jin Bertindik Satu, Ustaz Sulaiman membentangkan sejarah perkembangan muzik yang sebenarnya sudah dikaji oleh orang Islam lebih dulu sebelum masyarakat Barat. Antara tokoh muzik Islam ialah Tuvais, Izzat-ul-Maila dan Saib Kathir. Malah tokoh-tokoh muzik kita juga adalah ulama dan pemikir dalam masa yang sama- Al-Farabi menulis Kitab-ul-Musiqi dan Ibn Sina menulis Shifa dan Nijat.

Di Negeri Fantasia, Ustaz Sulaiman membuka kelas vokal dan muzik. Maka ramailah jin-jin remaja daripada negeri tersebut mendaftar untuk belajar tentang genre muzik baru- Souti Sarmad yang diperkenalkan oleh Ustaz Sulaiman itu.

Asas kelas muzik Ustaz Sulaiman ialah menyedarkan para remaja jin yang sudah dirasuk dengan muzik Barat kepada muzik yang mengandungi dua sifat Tuhan- aspek Keagungan (Al-Jalal) yang diterjemahkan dalam irama dan aspek Keindahan (Al-Jamal) yang diterjemahkan dalam melodi.

Namun pengembaraan Ustaz Sulaiman di Negeri Fantasia ini tetap berhadapan dengan pelbagai cabaran dan mehnah- antaranya kelasnya turut dihadiri oleh perisik dan pengintip, akan dipancung sekiranya tidak dapat menarik hati pendengar ketika Konsert Fantasia dan telah dipenjara kerana menolak godaan Puteri Simone Sidharra.

Walau bagaimanapun, segala cabaran di Negeri Fantasia itu dapat diatasi sehinggalah negeri itu telah diberi petunjuk oleh Allah dan remaja-remajanya kembali ke jalan kebenaran. Negeri Fantasia akhirnya berubah nama kepada negeri al-Hidayah.

Saya meneruskan pengembaraan bersama Ustaz Sulaiman, Si Peniup Ney ke negeri Samudera Suran pula. Dalam advancer terakhir ini, beliau berjaya mengislamkan Maharaja Tenggiri dan sekalian rakyat jin negeri tersebut.

Sesungguhnya, advancer ini sangat luar biasa. Sungguh-sungguh luar biasa! Saya belajar banyak perkara tentang masyarakat jin dan muzik- yang sebenarnya merupakan salah satu cabang ilmu umat Islam terdahulu. Saya juga belajar tentang Sema- Diri dibakar Cinta. Panggilan Cinta.

Benarlah! Muzik seandainya disalurkan dengan cara yang dibenarkan syarak, mampu menjadi suatu tenaga kerohanian yang mengajar dan membimbing pendengarnya, kerana fitrah manusia itu sendiri sukakan kepada keindahan dan kesenangan jiwa. Tetapi sebaliknya, jika kuasa bunyi, irama dan melodi ini diselewengkan dan bertentangan daripada landasan syarak, maka manusia akan tenggelam dalam laut khayal, fantasi dan noda yang maha keji.

Allahu’alam.


MARI BERINDIGO!

Andai dalam Advencer Si Peniup Ney, anda dibawa mengembara bersama Ustaz Sulaiman dan 40 sahabat jinnya ke Negeri Fantasia dan Negeri Samudera Suran, dalam Detektif Indigo pula anda bakal mengimbau kembali saat-saat anda membaca Siri Tiga Penyiasat, Hardy Boys dan Nancy Drew ketika anda berada di sekolah rendah dahulu. (jika anda sekarang berumur dalam lingkungan 20-an.)

Anda bakal berkenalan dengan Cheng-Chung yang Hafiz, Faruk- Si Tahukah Anda, Mihrimah- pakar forensik si perawan tembun juga Ruzbihan yang tajam deria baunya, Rabiah Zaitun- si ahli kimia dan Isamu Nikamura yang mahir entomologi. Mereka adalah Remaja Indigo- remaja yang dikurniakan Allah bakat dan kebolehan yang sukar ditemukan pada remaja biasa. Mereka dikurniakan IQ yang tinggi dan deria keenam lalu dihantar belajar ke Maktab Rendah Remaja Indigo kelolaan OIC. Keenam-enam remaja ini mengikuti kursus khas yang melatih mereka menjadi perisik dan penyiasat. Kursus ini diberi tumpuan khas memandangkan terdapat bermacam-macam kes dan konspirasi dunia untuk memburukkan imej Islam.

Seharian menelusuri Detektif Indigo, saya kira naskhah novel ini lebih bijak dan lancar naratifnya. Tentunya ia amat menepati sasaran remaja awal 13- 17 tahun dan saya yakin, remaja lelaki tentu amat meminati novel sebegini. Memang seronok membacanya dan saya kembali mengingati saat-saat kegilaan saya membaca Siri Tiga Penyiasat ketika saya di peringkat sekolah rendah dahulu. Dalam Detektif Indigo ini Faisal ternyata bijak menampilkan beberapa masalah lalu menyelesaikannya dengan gaya detektif dibantu dengan pelbagai peralatan canggih dan sesekali kuasa psikik.

Benarlah! Buah tangan daripada Faisal Tehrani tidak pernah mengecewakan dan saya berharap agar Detektif Indigo ini dapat diperkenalkan secara meluas kepada para remaja khususnya remaja peringkat menengah.




* TAHNIAH dan SYABAS buat Abang Faisal atas kelahiran Advencer Si Peniup Ney dan Detektif Indigo yang benar-benar mendidik!

























No comments:

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <