SEMESTER BARU, SEMANGAT BARU.
Alhamdulillah, dah masuk semester baru untuk sesi akademik 2006/07. Result exam semester lepas pun dah dapat dan sungguh2 syukur kerana target tidak tersasar dan terima kasih untuk semua yang membantu sepanjang semester.
Untuk semester ni, subjek Usuluddin ternyata lebih mencabar (minda) dan (jiwa). :D Untuk subjek Critical Review of Philosophy in Islam, kami akan menelaah kitab al-Munqidh Min al-Dholal yang telah saya selesai baca terjemahannya (oleh Abdulfatah Haron Ibrahim, UKM) dan kitab Tahafut al-Falasifah. Kedua-duanya karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Kami juga akan menelaah Tahafut al-Tahafut karya Ibn Rushd yang mana kitab ini ditulis untuk menyangkal pandangan Imam al-Ghazali dalam kitab Tahafutnya terhadap ahli-ahli falsafah Islam terutama Ibn Sina dan al-Farabi.
Munqidh al-Dholal (Penyelamat Kepada Kesesatan) boleh juga dikatakan sebagai autobiografi Imam al-Ghazali. Namun yang lebih penting dalam kitab ini, bagaimana al-Ghazali telah menghuraikan secara terperinci aliran-aliran pencari kebenaran kepada 4 aliran iaitu al-mutakallimun, al-batiniah (al-ta’limiyyah), al-falasifah dan assufiah. Dan tentu sahaja, Imam al-Ghazali telah memilih aliran tasawwuf sebagai jalan yang paling sempurna.
Menurutnya dalam Munqidh, orang-orang tasawwuf itu mempunyai ilmu beserta amal. Dan tujuan orang-orang tasawuf beramal ialah untuk membebaskan jiwa dan belenggu hawa nafsu, membersihkannya daripada akhlak yang keji, menjauhkannya daripada sifat2 yang tercaci, sehingga kosonglah hati, tak berisi dengan satu apa pun kecuali Allah. Hati seperti ini sudah berhias dengan mengingati Allah.
Teringat saya kata-kata daripada MB Kelantan yang saya ikuti kuliah mingguannya di Kota Bharu ketika cuti semester baru-baru ini. Katanya menerima kebenaran, menerima Islam, bererti menolak segala kehendak hawa nafsu yang sentiasa mendorong kita ke arah kebatilan. Dan ini sangat bertepatan dengan apa yang telah dihuraikan oleh al-Ghazali tentang aliran tasawwuf. Orang-orang tasawwuf beramal hanya untuk menyucikan hati dan membebaskan jiwa dari belenggu hawa nafsu.
Mudah-mudahan kita jua tergolong dalam aliran pencari kebenaran yang sentiasa ingin menyucikan hati daripada segala debu kekotoran hawa nafsu yang melekat di hati kita. Ameen.
Dan untuk sahabat-sahabat di UIA, selamat menempuh semester baru dengan semangat baru beserta dengan hati yang bersih dan ikhlas!
UNTUNGNYA ORANG KELATE
Dari jauh sudah kedengaran suaranya sayup-sayup menyampaikan kuliah tafsir mingguannya. Saya dan adik-adik turun agak lewat dari hotel. Mak dan abah sedari jam 8 pagi sudah turun. Masya Allah! Ramainya orang! Kata adik saya. Ada beberapa khemah didirikan untuk muslimat. Yang tua, yang muda, anak-anak kecil, semuanya khusyuk mendengar kuliah yang disampaikan sendiri oleh pemimpin negeri mereka. Muslimin kelihatan lebih selesa untuk berdiri. Memerhati dari pandangan sisi, saya lihat dia berserban dan berjubah putih, wajahnya bersih dan jernih. Dengan tenang, dia duduk di atas sebuah pentas yang disediakan sambil memegang sebuah kitab. Di sekelililngnya duduk beberapa orang muslimin dan anak-anak kecil. Seakan sebuah halaqah kecil.
Memerhati sekeliling, ada suatu rasa yang mula menyusup dan menjalar dalam hati. Seakan sayu dan terharu. Ini kali kedua saya datang ke Kelantan tetapi kali pertama pada hari Jumaat. Memang abah dan mak sengaja datang pada hari ini untuk melihat suasana indah ini. Benar! Belum pernah saya melihat suasana sebegini kecuali di majlis-majlis ilmu dan ceramah-ceramah (politik) yang kadang-kadang saya ikuti bersama abah.
Saya dan adik-adik memilih untuk masuk ke dalam kedai buku Jaafar Rawas, tenggelam dalam buku dan kitab sambil cuba dengan sungguh-sungguh untuk mendengar kuliah tafsir yang disampaikan dalam loghat Kelantan itu.
Untungnya orang-orang Kelantan. Mereka mempunyai seorang pemimpin negeri (Menteri Besar) yang saban minggu turun ke tengah-tengah rakyat kebanyakan, berpesan dan mengajak rakyatnya kembali kepada Islam, kembali ke arah kebenaran.
Andainya ada beribu-ribu pemimpin dan bandar seperti ini.. Alangkah… !
Thursday, December 07, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
ASMAUL HUSNA
AL WAQTU KAS SAIF
...MENGHITUNG HARI...
About Me
- Ghafirah Idris
- Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris
No comments:
Post a Comment