Saturday, May 03, 2008

KE MANA HALA TUJU PARA PENDIDIK?
(Renungan bersama untuk semua guru khususnya guru Pendidikan Islam)











Saya sememangnya meminati dan mencintai bidang pendidikan sedari kecil lagi. Mungkin kerana darah pendidik itu sudah mengalir dalam urat nadi saya dan seakan sudah sebati sejak lahir lagi. Ibu saya seorang guru yang telah mempunyai pengalaman mengajar selama 25 tahun. Abah pula, sebelum bekerja di Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Perlis, pernah menjadi tenaga pengajar sementara di Langkawi. Kini, saya pula memasuki fasa alam pendidik itu. Meski hanya menjadi guru sementara di dua buah sekolah di Arau (SK Jelempok dan SK Pauh) hingga penghujung bulan Jun ini, ia merupakan pengalaman baru yang mengajar saya tentang banyak hal.

Melihat kepada moral generasi masa kini, para pendidik kini menggalas tanggungjawab yang cukup berat. Masalah akhlak kini bukan hanya sekadar melanda anak pelajar yang menuntut di peringkat menengah, malah di era baru ini, tempiasnya sudah memercik dan membasahkan moral anak-anak pelajar yang berada di peringkat sekolah rendah. Betapa banyak kini anak pelajar yang berada di peringkat sekolah rendah, terutama darjah 4 hingga 6 sudah mula pandai melawan cakap guru, sudah pandai belajar-belajar merokok, mencuri, menonton video lucah, menipu, ponteng sekolah, dan lain-lain.

Banyak antara kalangan pendidik terutama yang mengajar mata pelajaran pendidikan Islam tertanya-tanya di mana silapnya mereka sehingga generasi kini terjerumus dalam masalah kebejatan moral yang melampau.

Adakah ada banyak kecacatan dan sebarang kesilapan dalam silibus pendidikan kita terutama silibus mata pelajaran Pendidikan Islam dan Moral? Atau silapnya pada para pendidik itu sendiri yang tidak tahu dan kurang kreatif dalam menyampaikan kandungan silibus berkenaan kepada para pelajar secara berkesan? Atau adakah anak pelajar itu sendiri yang benak/ lambat faham dan hadam atau sememangnya malas untuk mendengar ajaran guru, seolah-olah masuk telinga kanan keluar telinga kiri atau mereka belajar teori sekadar mahu lulus ujian namun praktikal dalam kehidupan gagal!

Saya tidak fikir ada kecacatan besar dalam silibus mata pelajaran Pendidikan Islam. Menurut Allahyarham Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyatul Awlad Fil Islam (Pendidikan Anak-Anak dalam Islam) (Jilid 1), tarbiah atau pendidikan harus bermula dengan pendidikan akidah / keimanan, diikuti dengan tanggungjawab pendidikan moral, tanggungjawab pendidikan jasmani, tanggungjawab pendidikan mental, tanggungjawab pendidikan rohani dan tanggungjawab pendidikan sosial.

Surah Luqman turut memberi panduan kepada para pendidik tentang tanggungjawab pendidikan ini. Dalam ayat 13, Luqman berpesan kepada anaknya supaya tidak mensyirikkan Allah (Tanggungjawab pendidikan keimanan). Manakala dalam Ayat 18, Luqman berpesan kepada anaknya supaya tidak sombong dan bersifat angkuh kepada manusia (Tanggungjawab pendidikan moral) dan lain-lain lagi tanggungjawab pendidikan yang telah diberi panduan oleh Allah melalui peribadi Luqmanul Hakim ini. Kesemua fasal pendidikan ini, pada pandangan saya sudah tersedia rapi dalam silibus mata pelajaran Pendidikan Islam. Namun, dari hari ke hari gejala keruntuhan akhlak di kalangan generasi pelajar berada di tahap yang membimbangkan. Apakah sebenarnya kesilapan kita, para pendidik?

Saya melihat peranan dan tanggungjawab para pendidik dalam melaksanakan amanah mereka sebagai guru merupakan antara faktor terbesar yang mungkin dari satu sisi mampu membantu dalam menangani masalah sosial anak-anak pelajar dan dari sisi yang lain, turut menyumbang kepada keruntuhan moral pelajar. Kenapa ya saya tegar mengatakan guru turut merupakan faktor penyumbang kepada kebejatan akhlak generasi kini?

Secara asasnya, tarbiah/pendidikan mempunyai 5 peringkat. Peringkat pertama ialah tarbiah bil qudwah (Pendidikan melalui teladan). Peringkat kedua: Tarbiah bil ‘Adat (pendidikan melalui kebiasaan). Peringkat ketiga: Tarbiah bil Nasihah (Pendidikan melalui nasihat). Peringkat keempat: Tarbiah bil Mulahazah (Pendidikan melalui pemerhatian). Peringkat kelima: Tarbiah bil ‘Uqubah (Pendidikan melalui hukuman).

Seperti yang telah dinyatakan tadi, tarbiah bil qudwah (Guru sebagai model dan contoh teladan) merupakan peringkat pertama dalam pendidikan, dan tarbiah bil ‘Uqubah yang menggunakan hukuman sebagai jalan/cara/metod untuk mendidik berada di tangga yang terakhir. Terjun dalam bidang pendidikan, memberi ruang kepada saya untuk berada di posisi guru dan memahami apa sebenarnya yang berlaku di sekolah. Ternyata ada beberapa kesilapan yang mungkin disengajakan atau tidak disengajakan oleh para ustaz dan ustazah dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah mereka sebagai seorang guru dan pendidik dan ini telah sedikit-sebanyak menjejaskan posisi mereka sebagai qudwah/model/contoh kepada para pelajar.

Ada sesetengah ustaz dan ustazah masih tidak faham apa itu erti amanah. Bersembang di café, berbual sambil-sambil hisap rokok di bilik sukan, makan-makan buah mempelam dan mengunyah kacang di bilik guru sambil gosip-gosip tentang artis dan jiran sebelah lantas meninggalkan anak-anak pelajar tanpa guru di kelas dianggap sebagai perkara kecil. Saya tidak mahu menuding jari kepada semua ustaz dan ustazah, namun, kita harus akur bahawa segelintir sahaja ustaz dan ustazah yang melakukan perkara ini, bisa mampu mencemarkan seluruh nama baik institusi pendidikan dan lebih menyedihkan lagi, kita bakal dipantang enteng oleh orang lain dan sekaligus menyebabkan nama Islam itu sendiri tercalar. Andai masuk kelas pun, ada sesetengahnya tidak mengajar. Hanya memberikan latihan untuk disiapkan oleh murid dan dia cuma duduk-duduk goyang kaki sambil main mesej di telefon. Mungkinkah mereka yang seperti ini menjadi ustaz dan ustazah hanya kerana sudah tidak ada pilihan lain atau didesak oleh ibu bapa atau sebab-sebab lain yang bukan lahir dari jiwa mereka yang tulus? Justeru, ustaz dan ustazah yang seperti ini mana mungkin mampu menjadi qudwah/model/contoh terbaik kepada anak pelajar!

Tarbiah bil ‘Uqubah merupakan peringkat terakhir dalam metod/cara pendidikan yang berkesan. Namun, ada sesetengah daripada kita (ustaz dan ustazah) mengambil jalan mudah dengan meletakkan cara ini di peringkat teratas. Baru-baru ini saya menjadi fasilitator untuk sebuah Khemah Ibadah di salah sebuah sekolah rendah berdekatan dengan rumah. Khemah Ibadah ini satu-satunya Khemah Ibadah ala tentera yang pernah saya hadiri. Kem Komandennya, seorang ustaz muda tanpa segan-silu menggunakan metod ‘Uqubah sebagai cara mendidik anak-anak pelajar yang baru berusia 12 tahun. Memukul dengan pembaris panjang dan menampar pipi seorang pelajar hingga berdarah telinganya, bukanlah satu cara mendidik yang dianjurkan oleh Islam. Di sinilah silapnya kita! Apakah menggunakan kekerasan dan metod ‘Uqubah untuk mengajar anak-anak pelajar asas-asas sembahyang, wudhuk, tayammum, mandi wajib, istinjak dan lain-lain asas Fardhu ‘Ain merupakan metod yang berkesan? Nabi Muhammad SAW sendiri cuba dengan seboleh mungkin mengelak daripada menggunakan metod yang seperti ini ketika mengajar.

Inilah sikap kita yang sentiasa membuatkan orang lain merasa takut dan jauh dengan Islam. Bagaimana para remaja mahu dekat dengan Islam, mahu merasa mesra dengan agama, apabila mereka dilayan dengan sebegitu keras oleh ustaz dan ustazah.

Sungguh! Tarbiah merupakan asas terpenting dalam kehidupan setiap individu. Kerna itu, para pendidik yang merupakan penggerak kepada pendidikan itu harus tahu peranan, tanggungjawab dan hala tuju mereka. Tanya kepada diri anda sendiri duhai para pendidik, duhai para ustaz dan ustazah, apakah saya ini layak berada di posisi ini, adakah saya ini sudah benar-benar telah menggalas amanah yang diletakkan di bahu saya saat kali pertama saya melafazkan ikrar sebagai seorang guru.

Fikir-fikir dan renung-renungkanlah!

1 comment:

saifulmohd said...

salam..satu penulisan yang menarik dan penuh dengan kecaknaan..trima kasih atas tlisan ini

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <