Monday, June 23, 2008

RUMAH NURUL IMAN


Dalam temubual saya sewaktu kunjungan ke Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM), kata pengasasnya, Puan Norlina Alawi (yang lebih akrab dipanggil Mama), PERNIM lebih mengamalkan konsep kekeluargaan dan ia bukanlah seperti rumah kebajikan yang lain yang lebih menggunakan kaedah penginapan asrama. Sedetik mereka menjejakkan kaki ke PERNIM, sepanjang hayat mereka adalah anak-anak Norlina Alawi.

Dan ketika kunjungan itulah, saya terpandang sorot mata anak gadis Puan Norlina yang baru selesai menunaikan solat Zohornya. Dari tatapan matanya, saya memikir-mikir, apakah yang ada dalam benak anak remaja itu. Apakah detik rasa yang hadir dalam kalbunya yang masih remaja tentang ibunya yang hari demi hari menerima dengan lapang dada anak-anak pesakit HIV/AIDS, anak-anak yatim dan anak-anak gelandangan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Saban hari, ahli keluarga mereka bertambah dan bertambah. Bagaimanakah perasaan seorang gadis remaja yang terpaksa tinggal sebumbung, tidur sekatil dan makan semeja dengan anak-anak yang langsung tidak dikenalinya. Harus menganggap orang-orang yang tidak dikenalinya itu saudara malahan. Apakah dia mampu untuk berlapang dada seperti mamanya? Apakah hatinya sejernih, semurni hati mamanya? Menyelami hati gadis inilah, maka terhasilnya cerpen Rumah Nurul Iman yang Alhamdulillah, berjaya menggondol Hadiah Utama (Cerpen Remaja) Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2007.

Tentunya saya harus berterima kasih kepada Puan Norlina Alawi serta seluruh ahli keluarga PERNIM. Semangat dan iltizam mereka adalah inspirasi buat saya sehingga terhasilnya Rumah Nurul Iman. Benar. Semua anak dilahirkan fitrah, bersih. Tiada dosa asal yang harus mereka kendong ke dunia ini. Kita tidak layak menghakimi anak-anak ini atas dosa kedua ibu bapa mereka. Andai Tuhan sendiri tidak menghukum, mengapa perlu kita?

Moga Allah memberkati usaha Mama dan moga akan ada ratusan bahkan ribuan Norlina Alawi!

Tabung Perlindungan PERNIM:

RHB BANK 2-64124-00019124 / cek atas nama “Tabung Perlindungan PERNIM”.


Untuk membaca cerpen "Rumah Nurul Iman" dan cerpen-cerpen remaja yang lain, dapatkan Antologi Cerpen Remaja HSKU 2007, "Wira Mandala Hijau" terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.



* * *

SEKITAR MAJLIS ANUGERAH HADIAH SASTERA KUMPULAN UTUSAN 2007, 20 JUN 2008, HOTEL CROWNE PLAZA MUTIARA, KL.

HSKU tentunya bukan sekadar majlis menerima anugerah, tetapi ia sebuah majlis pertemuan sesama penulis untuk beramah mesra dan bertukar-tukar fikiran. Malah HSKU merupakan anugerah sastera paling konsisten di Malaysia yang telah banyak mengangkat dan memperkenalkan bakat-bakat baru dalam dunia penulisan di Malaysia dan telah membuka banyak peluang kepada para penulis muda.

Tentunya HSKU menjadi tumpuan khalayak penulis Malaysia dan majlis penganugerahannya pada malam 20 Jun yang lepas, saya kira ada kelompangannya. Berbanding Majlis Anugerah HSKU 2003 dan 2004 yang pernah saya hadiri, ternyata tahun ini ia begitu berbeza dan mengejutkan saya dan saya yakin, mengejutkan teman-teman penulis yang lain juga malahan.

Saya agak terkejut dengan kehadiran banyak artis veteran yang menjadi penyampai hadiah kepada para pemenang. Mak yang menemani saya malam itu malahan tertanya-tanya, kenapa yang menjadi penyampai hadiah ialah Dato' Rahim Razali, Dato' Mustafa Maarof, Fauziah Nawi, Rubiah Suparman dan lain-lain artis veteren, bukan Sasterawan-sasterawan Negara mahupun penulis-penulis mapan yang lain? Tanpa niat merendahkan mereka, saya kira lebih sesuai penyampai hadiahnya ialah kelompok penulis sendiri kerana kami, para penulis muda lebih-lebih lagi, akan berasa sangat teruja dan berbangga kerana menerima hadiah daripada tangan sifu-sifu besar sastera. Usahlah hatta majlis sastera sendiri pun memerlukan artis untuk berdiri, kerana HSKU itu sendiri, bagi saya sudah mampu berdiri gah dan berprestij tanpa perlu menumpang glamor artis.

Benarlah seperti kata Cikgu Abu Hassan Morad ketika dalam perjalanan menghantar saya dan mak pulang ke hotel, begitulah murahnya nilai buku, begitulah rendahnya martabat ilmu di mata kita...




Bersama mak, bunga hati saya:)




Ayah, ibu. Kalianlah kekuatan kami!




Bersama Khairunnasriah Abdul Salam, orang kaya baru:P




Faizati Ali, Salina Ibrahim, Khairunnasriah Abdul Salam, Ghafirah Idris

No comments:

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <