Friday, April 15, 2005

Sasterawan-Tentera dan Kombat Yang Panjang
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya memulakan kembali penulisan saya di blog.

Sejak beberapa bulan yang lalu, saya menghentikan segala kegilaan menulis- di blog mahupun di media cetak. Alasannya saya sendiri kurang pasti- bercampur-baur hingga terkadang saya sendiri jadi keliru. Maaf atas kesusahan dan ketidaksenanganhati sesetengah pihak.

Sepanjang period "rehat" itu, saya lebih senang jadi pemerhati- pembaca. Sepanjang cuti kali ini, saya banyak merapati Dewan Sastera- membaca dari helai ke helai membuatkan saya berfikir sendiri. Tidak mudah untuk seorang penulis menyalin setiap rinci kehidupan masyarakat lalu diterjemahkan dalam susunan huruf-huruf roman untuk tatapan pembaca. Mereka harus kuat memerhati, menelaah, bertanya, berfikir, seterusnya melalui proses terakhir iaitu menulis. Penulis dikatakan sebagai sosialis dan cendekiawan masyarakat, pengkritik, pemikir, penyelesai masalah, mujahidin bersenjatakan pena, pendakwah, penyampai ide juga sebagai wadah perantara seharusnya punya persiapan tertentu ke arah memperkembangkan ide dan pandangan mereka.

Tentunya, sebagai penulis yang berpegang kepada dua kalimah syahadah, saya senang sekali membaca tulisan Sdr. Faisal Tehrani dalam artikelnya Sastera Islam Setelah 11 September (Dewan Sastera, April 2005). Beliau menulis tentang persiapan sasterawan-tentera untuk satu “kombat” yang panjang- persiapan masyarakat Islam berjihad melalui sebatang pena. Saya pernah membaca tulisan Abang Faisal tentang Sasterawan-Tentera ini dalam artikelnya di Mingguan Malaysia dan kali ini beliau mengulangi kembali noktah-noktah penting persiapan penulis Muslim yang digelarnya sasterawan-tentera.

Mungkin saya boleh simpulkan persiapan-persiapan dasar yang harus ada pada sasterawan-tentera (yang juga harus ada pada setiap Muslim) kepada tiga noktah penting :

1) Pandangan dunia Tauhid- bahawa semua yang ada dan dipunyai di muka bumi ini hanya pinjaman dan kekal sebagai milik Allah semata. Seorang penulis harus mempunyai spiritual Islam yang bertunjangkan Al-Quran dan Al-Sunnah. Spiritual Islam ini, menurut Seyyed Hossein Nasr, hanya lahir dari seniman yang taat jiwanya kepada Allah.

2) Melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan memantapkannya dengan ketaqwaan- Tentunya bagi seorang sasterawan-tentera harus mempunyai kekuatan menguasai ilmu pengetahuan dalam menyerang balas segala dakyah-dakyah songsang dan sesat. Harus diingat, bahawa dengan ilmu pengetahuanlah, para Orientalis melaksanakan perang saraf terhadap umat Islam. Dan kemunduran umat Islam hari ini sering dikaitkan dengan lompangnya akal dan jiwa mereka daripada ilmu.

3) Amal Soleh- Sasterawan-tentera harus bijak memilih ilmu dan tahu bagaimana untuk memanfaatkannya.


(Ghafirah: Mudah-mudahan roh Sasterawan-Tentera ini mampu merebak dan meresap ke segenap penjuru hati sekalian umat Muhammad. Ameen)


No comments:

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <