Sunday, May 29, 2005

TELAH DIBERINYA HATI


Pengalaman adalah guru yang paling mendidik- yang bisa mendewasakan dan bisa mematangkan. Sungguh! Saya belajar banyak daripada pengalaman. Sewaktu saya dilanda ujian paling besar dalam hidup saya, saya selalu berkata ke dalam diri, ke dalam hati- Anggap ujian ini seperti sebuah sekolah. Ya, sekolah! Sekolah hidup. Ia bakal mengajar kau tentang banyak perkara.

Berkenalan dengan sang osteosarcoma, kemoterapi, biopsy, berkelana setahun di Wad Orthopedik (9U) Hospital Universiti Malaya, berkongsi senyum dan dura dengan kawan-kawan di 9U, juga berbalas cerita dengan doktor dan jururawat di 9U tentunya sesuatu yang banyak mengajar. Ya! Mengajar tentang apa itu erti sabar, redha, pasrah. Mengajar kita mengukur setinggi mana nilai persahabatan, mengajar kita menjadi manusia tabah mendepani kematian, mengajar kita menghargai kasih sayang seorang ibu dan ayah. Mengajar kita banyak perkara dan nilai!

Setiap kali saya menulis, saya tidak pernah lupa guru saya ini. Dan mungkin kerana kejapnya ia terlekat di hati dan rasa, maka tulisan-tulisan saya acap kali menyentuh perihal ini. Wad-Doktor-Pesakit.

Saat gering sering membuatkan kita mengakrabi Tuhan. Ia guru yang mampu mendidik dan selalu benar mampu merubah peribadi seseorang kepada yang lebih baik andai kita benar-benar redha dengan ketentuan Ilahi dan mahu belajar sesuatu daripadanya.

Telah Diberinya Hati- lahir dari segenap rasa dan sejernih hati. Menulisnya dengan harapan agar hati terdidik sentiasa mengingati Tuhan, tidak kira tika suka mahupun duka. Ia memang berbaur agak romantis, tetapi ketika menulisnya, saya benar-benar mahu menghantar sesuatu ke hati pembaca. Satu harapan saya- Baca dan nilailah ia dengan hati yang jernih dan bersih. Anda akan ketemu sesuatu di dalamnya.

Semoga sekeping hati yang dikurniai Tuhan kepada kita ini sentiasa melimpah dengan kasih sayang dan sentiasa disirami dengan cahaya keimanan dan ketaqwaan. Mudah-mudahan. Ameen.


****

Tahniah kepada para pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2004.


Monday, May 23, 2005

SALJU JABAL MUSA


Lebih kurang setahun yang lalu, cadangan untuk menghimpunkan karya penulis-penulis muda yang bergiat dalam laman sastera, esastera.com ke dalam sebuah antologi telah disuarakan oleh Drirwan (founder esastera.com). Cadangan ini turut mendapat sokongan sahabat-sahabat penulis di sana.

Justeru saya beserta empat sahabat penulis- Amiza Khusyri Yusof, Fahd Razy, Ida Munira Abu Bakar dan Nimoiz T.Y telah bersetuju untuk menghimpunkan cerpen-cerpen kami ke dalam sebuah antologi cerpen.

Pada permulaannya, proses menyiapkan antologi cerpen ini berjalan dengan lancar dan teratur. Bermula dengan menghimpunkan 15 cerpen (1 penulis 3 cerpen), pemilihan tajuk antologi, lukisan kulit buku, sehinggalah kepada pembacaan dan penyemakan pruf, segala-galanya kelihatan mudah dan lancar. Jua tatkala Sdr. Faisal Tehrani bersetuju untuk menulis kata pengantar antologi ini dari Turki, kami sangkakan hasrat kami untuk melihat Salju Jabal Musa (SJM) diterbitkan pada tahun 2004 akan tercapai.

Namun benarlah, kita merancang dan Allah jua merancang. Dan tentunya perancangan Allah itu nyata lebih hebat.

SJM tergendala sebentar prosesnya kerana masalah kewangan. Namun demi merealisasikan jua hasrat kami, kami sekali lagi bermusyawwarah dan akhirnya mendapat kata putus agar antologi ini diterbitkan pada tahun ini walau apa jua halangannya.

Proses menerbitkan SJM diteruskan selepas itu dan masih mengekalkan perancangan asal. Namun terdapat beberapa perubahan cerpen dan ia melibatkan percetakan semula pruf. Pembacaan pruf telah dilaksanakan oleh saya dan Drirwan.

Dan Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan daripada penerbit (Esastera Enterprise), keluarga dan sahabat-sahabat, SJM bakal dilancarkan pada 10 Jun 2005 ini di Hotel Perdana, Kota Bharu.

Sememangnya kami harus mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Drirwan yang bertungkus-lumus menolong kami dalam menerbitkan antologi cerpen ini. Tidak lupa kepada Abang Faisal yang sudi menitipkan kata pengantar untuk kami, budak-budak penulis ini. Jua terima kasih buat Sdr Wan Zuhairi Wan Zainuddin (Wanzu- alwancomics.com) yang sudi menjadi pelukis untuk kulit SJM, Jazakumullahu khairan kasira buat para sifu, para editor, keluarga dan sekalian sahabat yang bersama-sama membantu dan menyokong penulisan kami selama ini. Terima kasih dan hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.



************


Berikut ialah maklumat lanjut berkenaan Majlis Pelancaran dan Diskusi Novel Hostel: Debaran Kedua dan Salju Jabal Musa, beserta Majlis Baca Puisi pada 10 Jun 2005 di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim :

Portal sastera di talian, eSastera.com terus merancakkan dunia sastera tanahair dengan pelbagai program dan aktiviti yang tidak hanya berlangsung secara maya, tetapi juga turut menemui khalayak secara langsung.

Terbaharu, eSastera.com akan menganjurkan program Bicara Karya & Malam Baca Puisi eSastera.com di Kota Bharu, Kelantan. Program berkenaan akan diadakan pada 10 Jun ini bertempat di Hotel Perdana, Kota Bharu adalah merupakan program hasil kerjasama eSastera.com dengan Kerajan Negeri Kelantan dan juga Dewan Bahasa & Pustaka.

Program ini terbahagi kepada dua sesi bermula jam 2 petang hingga 11 malam. Pada sesi pertama (2 petang hingga 5 petang) merupakan majlis pelancaran dan diskusi karya-karya penulis eSastera.com iaitu novel Hostel : Debaran Kedua dan antologi cerpen Salju Jabal Musa. Panel yang akan membicarakan teks novel berkenaan ialah Sasterawan Negara Prof. Dr. S. Othman Kelantan dan Prof. Madya Dr. Mohammad Mokhtar Abu Hassan (UM). Manakala bagi antologi cerpen pula akan didiskusikan oleh Sasterawan Negara Dato (Dr) A. Samad Said dan Mohammad Daud Mohammad (DBP). Majlis berkenaan dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka yang baru, Prof. Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Manakala pada sebelah malamnya pula iaitu untuk sesi kedua, akan berlangsung Malam Baca Puisi eSastera.com. Majlis berkenaan akan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 9.00 malam. Majlis berkenaan yang akan diadakan dalam bentuk makan malam sambil dihidangkan dengan persembahan-persembahan berupa deklamasi sajak, nyanyian lagu puisi, teater monolog, persembahan sajak siber, dan juga dikir puisi. Beberapa deklamator terkenal akan turut terlibat dalam persembahan ini termasuk dari komuniti esastera.com seperti Sasterawan Negara Dato (Dr) A. Samad Said, Sasterawan Negara Prof. Dr. S. Othman Kelantan, Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas (Irwan Abu Bakar), Dr. Victor A. Pogadev, Anual Bakri Haron (AnBakri), Abdul Halim Karim (AhKarim), Shamsul Zakaria (Airmas_SZ), Khairunnasriah Abdul Salam (Nasa Natrah), Wan Nur Ilyani Wan Abu Bakar (Kablam_22), deklamator dari Persatuan Penulis Kelantan serta pasukan dikir barat MPKB.


ATUR CARA

Sesi 1, Jam 2.00 petang

Majlis Bicara Karya. Perasmi: Wakil DBP.

1) Diskusi e-novel Hostel: Debaran Kedua. Diskusi oleh SN S. Othman Kelantan dan Wakil DBP.

2) Diskusi antologi cerpen Salju Jabal Musa. Diskusi oleh SN A. Samad Said dan Muhammad Daud Muhammad (DBP).

Sesi 2, Jam 9.00 malam

Majlis baca puisi yang melibatkan SN A.Samad Said dan S. Othman Kelantan sebagai deklamator jemputan khas. Perasmi: YAB Menteri Besar Kelantan.

*****************

Saya, Ida Munira dan Nimoiz T.Y akan berada di majlis pelancaran Salju Jabal Musa pada 10 Jun nanti. Sahabat-sahabat yang berkelapangan dijemput hadir ke majlis berkenaan. Sebarang pertanyaan, maklumat lanjut dan juga pengesahan kehadiran boleh dibuat melalui setiausaha program, Sdr Mohd. Dahri Zakaria (012-370 6051) atau Dr Irwan Abu Bakar (019-268 0086) atau melalui e-mail : deewaqaf@yahoo.com sebelum 28 Mei 2005.


Untuk tempahan Salju Jabal Musa, boleh menghubungi kami di alamat emel saljujabalmusa@yahoo.com. Terima kasih.

Wednesday, May 11, 2005

Topeng


Kudapat melintas bumi
kudapat merajai hari
kudapat melukis langit
kudapat buatmu berseri

Tapi kudapat melangkah pergi
bila kau tipu aku di sini, kudapat melangkah pergi

Kau dapat cerahkan aku
kau dapat buatku berseri
kau dapat buatku mati
kau dapat hitamkan pelangi

Tapi kudapat melangkah pergi
bila kau tipu aku di sini, kudapat melangkah pergi

Tapi buka dulu topeng mu...buka dulu topeng mu...
biar kulihat warnamu...kan kulihat warnamu...


(Dengar lanjut : Taman Langit, 2003)



(Ghafirah : Untuk 1 nyawa yang punya banyak wajah)

Tuesday, May 10, 2005

Minggu Penulis Remaja (MPR)


Fokus Dewan Sastera bulan ini ialah berkenaan penulis muda. Malah kolum Karyawan Bulan Ini turut menampilkan seorang tokoh penyair dari kalangan penulis muda- Shamsudin Othman (cikgu saya masa kat MPR04).

Tentunya paling teruja ialah ketika membaca tulisan Saudara S.M Zakir tentang pergerakan penulis muda. S.M Zakir membahagikan pergerakan penulis muda sekitar 1990-an hingga 2005 kepada empat kelompok, iaitu Angkatan 21, Alumni MPR, Sekretariat Penulis Muda GAPENA dan Biro Penulis Muda PENA. Beliau menceritakan secara agak terperinci sejarah penubuhan keempat-empat kelompok pergerakan penulis muda ini.

Namun, apa yang paling menarik perhatian saya tentunya tulisan S.M Zakir tentang kelahiran Kelab Alumni MPR yang dibentuk di bawah naungan DBP.

Kelab Alumni MPR ditubuhkan sempena 10 tahun MPR. Tokoh yang menggerakkan penubuhan Kelab Alumni MPR ini ialah Allahyarham Dr. Othman Puteh, di samping Ayob Amin di DBP, serta pembimbing MPR pada masa itu seperti Rahman Shaari dan Ali Majod. Kelab Alumni MPR ini ditubuhkan pada 31 Mei 1997 dengan Presiden pertamanya ialah Hizairi Othman, timbalan presiden Uthaya Sankar SB, dan setiausahanya Ade Irma Che Leh.

Kelab Alumni ini mempunyai barisan kepimpinan yang terdiri daripada penulis-penulis muda yang ghairah menjalankan aktiviti dan sangat aktif di bawah pimpinan Hizairi Othman dan Faisal Tehrani.

(Baca lanjut : Dewan Sastera, Mei- halaman 15-19)

Tahun ini, Minggu Penulis Remaja bakal diadakan lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Dan penulis berjenama MPR @ ahli Kelab Alumni MPR bakal bertambah lagi. Namun sejauh mana peserta-peserta MPR yang bertambah dari tahun ke tahun ini mampu meneruskan kegemilangan penulis-penulis produk MPR seperti Faisal Tehrani, Hizairi Othman, Saharil Hasrin Sanin, Shamsudin Othman, Zaen Kasturi, Nisah Haron, Salina Ibrahim dan Uthaya Sankar SB sering menjadi persoalan.

Suatu ketika dahulu, MPR dilihat sebagai platform yang mampu melahirkan penulis-penulis muda yang membanggakan dan ia dilihat sebagai program yang amat mengesankan dan berjaya. Namun, cahaya kegemilangan penulis-penulis produk MPR generasi baru saban tahun dilihat seakan hampir malap. Amat sukar menemukan penulis-penulis MPR generasi baru yang aktif berkarya.

Namun tidak dinafikan, masih ada sebilangan penulis produk MPR generasi baru yang masih berbisa kepengarangannya, seperti Siti Hajar Mohd Zaki, Muhammad Lutfi Ishak, Mohd Jimadie Shah Othman, Salman Sulaiman, Wan Nor Al-Tasnim Saad, Fahd Razy, Khairul Nizam Raub, Ida Munira Abu Bakar, Nimoiz T.Y dan yang terbaru Nor Ashikin, Abdul Rauf Baharuddin, Ukuza, Amir Mukhriz dan Ammar Gazali.

Namun bilangannya sangat sedikit dan ini dilihat sebagai suatu fenomena yang kurang sihat. Amat merugikan setelah peserta-peserta MPR diberi pendedahan tentang pelbagai perkara yang menyentuh soal penulisan dan sastera, selain dibimbing dan berpeluang bertemu dengan penulis-penulis tersohor termasuk Sasterawan Negara, mereka masih tidak mahu menulis.

Apakah faktor utama yang mendorong kepada masalah ini?

Saya berani menyatakan bahawa kebanyakan mantan MPR generasi baru yang masih menulis hingga kini adalah penulis-penulis yang mempunyai sikap dan jati diri kepengarangan yang kukuh. Kebanyakan daripada mereka ini sudahpun mempunyai kesedaran dan minat yang mendalam terhadap dunia penulisan sebelum menyertai sebarang bengkel lagi.

Sikap yang betul. Itu faktor terpenting yang mendorong kepada kesinambungan karya mereka. Bengkel dan apa jua program penulisan hanyalah bertindak sebagai pemudah cara, pembimbing, dan pembuka jalan, selain memberi pendedahan yang sejernihnya terhadap penulisan dan sastera. Selebihnya, ia bertitik-tolak atas sikap, keinginan dan kesungguhan penulis itu sendiri. Itu sangat saya percaya.

Buat kawan-kawan dan adik-adik yang bakal menyertai Minggu Penulis Remaja ke-19 pada tahun ini, semoga anda tidak hanya menjadi pembawa jenama MPR yang sia-sia, tetapi berjaya menggunakan segala ilmu dan pengalaman yang anda perolehi sepanjang MPR nanti untuk berjaya lahir sebagai penulis yang berkualiti, cemerlang dan berperibadi tinggi. Insya Allah.


***********

MPR Lagi!!

Tengah hari tadi saya terima dua SMS. Satu daripada adik saya, Shaafiqah dan satu lagi daripada seorang teman yang saya kenali di Temu Sastera IPT, Khairun Nasriah (Nasa Natrah). Kedua-duanya berjaya ke Minggu Penulis Remaja 2005.

Agak mengejutkan juga Shaafiqah terpilih ke MPR. Agaknya Kak Salina ambil nama dia daripada Majalah Fokus Februari yang menyiarkan cerpen sulungnya bertajuk Laluan Impian. Saya pernah menyatakan hasrat kepadanya untuk mencadangkan namanya ke MPR, namun dia menolak. Alih-alih, pagi tadi terima panggilan telefon dari DBP. Hehe. Keputusannya? Masih atas pagar. Pergi atau tidak, saya serahkan bulat-bulat kepada budi bicara tuan empunya diri.

Buat Nas, Tahniah! Semoga lepas ni, lebih giat dan bersemangat untuk menulis!



(Ghafirah : Manisnya mengenang MPR 04)

Tuesday, May 03, 2005

Tentang Roti Sapu Mentega, Cappuchino dan Sepet.

"Pagi tadi saya bangun lewat. Subuh pun terlepas. Seperti biasa, saya mengeliat-ngeliatkan tubuh sambil menghampiri meja makan untuk bersarapan roti sapu mentega."

"Petang tadi saya jalan-jalan sekitar KL. Tiba-tiba saya terserempak dengan kawan lama saya. Kami ke satu cafe- sembang-sembang sambil minum Cappuchino. Selepas itu kami pergi menonton Sepet sama-sama."

"Ghafirah, berentilah tulis kat weblog cenggitu."

Lalu saya ketawa...

Saya kebetulan ketemu *hoca saya ketika mengunjungi Pesta Buku di PWTC Sabtu lepas. Faisal Tehrani bersama Tunggu Teduh Dulu, 1515 dan 1511 (Kombat) di Booth Rimba Ilmu, Utusan Publication Sdn Bhd.S eronok berbual dengan abang Faisal setelah lama tidak ketemunya. Tapi yang paling saya teruja (bercampur lucu) tentunya apabila dia mula menyusun baris-baris ayat tentang roti, cappuchino dan Sepet. Rupa-rupanya tanpa kami sedar, dia mengikuti penulisan weblog kami, anak-anak didik MPR nya :)

Tentunya, dari susunan ayat-ayat sinisnya, saya tahu bahawa beliau ingin menghantar pesan supaya weblog tidak dijadikan medan penulisan hal-hal remeh, cerita-cerita gosip dan peribadi. Sebaliknya perkembangan weblog di kalangan para penulis seharusnya dijadikan wadah penyalur maklumat, perkongsian ilmu dan ide.

Wallahua'lam.

(*Hoca- Cikgu. Faisal Tehrani pernah menggunakan perkataan ini dalam cerpen dan artikelnya di kolum Kembara Iman, Majalah i)

********

Cerpen vs Novel

Faisal Tehrani : Ghafirah jangan tulis novel lagi. Tulis cerpen banyak-banyak dulu.

Ghafirah : Kenapa?

Faisal : 2 sebab kenapa saya suruh Ghafirah tulis cerpen banyak-banyak. Satu, supaya dapat belajar dan faham tentang kepelbagaian teknik dan garapan cerita. Dua, bina grass-root dulu @ cari peminat.

Ghafirah : Oooo... :D

(Ghafirah : Pertama kali nampak live H.M Tuah dan Ramlee Awang Murshid)

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <