Tuesday, May 10, 2005

Minggu Penulis Remaja (MPR)


Fokus Dewan Sastera bulan ini ialah berkenaan penulis muda. Malah kolum Karyawan Bulan Ini turut menampilkan seorang tokoh penyair dari kalangan penulis muda- Shamsudin Othman (cikgu saya masa kat MPR04).

Tentunya paling teruja ialah ketika membaca tulisan Saudara S.M Zakir tentang pergerakan penulis muda. S.M Zakir membahagikan pergerakan penulis muda sekitar 1990-an hingga 2005 kepada empat kelompok, iaitu Angkatan 21, Alumni MPR, Sekretariat Penulis Muda GAPENA dan Biro Penulis Muda PENA. Beliau menceritakan secara agak terperinci sejarah penubuhan keempat-empat kelompok pergerakan penulis muda ini.

Namun, apa yang paling menarik perhatian saya tentunya tulisan S.M Zakir tentang kelahiran Kelab Alumni MPR yang dibentuk di bawah naungan DBP.

Kelab Alumni MPR ditubuhkan sempena 10 tahun MPR. Tokoh yang menggerakkan penubuhan Kelab Alumni MPR ini ialah Allahyarham Dr. Othman Puteh, di samping Ayob Amin di DBP, serta pembimbing MPR pada masa itu seperti Rahman Shaari dan Ali Majod. Kelab Alumni MPR ini ditubuhkan pada 31 Mei 1997 dengan Presiden pertamanya ialah Hizairi Othman, timbalan presiden Uthaya Sankar SB, dan setiausahanya Ade Irma Che Leh.

Kelab Alumni ini mempunyai barisan kepimpinan yang terdiri daripada penulis-penulis muda yang ghairah menjalankan aktiviti dan sangat aktif di bawah pimpinan Hizairi Othman dan Faisal Tehrani.

(Baca lanjut : Dewan Sastera, Mei- halaman 15-19)

Tahun ini, Minggu Penulis Remaja bakal diadakan lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Dan penulis berjenama MPR @ ahli Kelab Alumni MPR bakal bertambah lagi. Namun sejauh mana peserta-peserta MPR yang bertambah dari tahun ke tahun ini mampu meneruskan kegemilangan penulis-penulis produk MPR seperti Faisal Tehrani, Hizairi Othman, Saharil Hasrin Sanin, Shamsudin Othman, Zaen Kasturi, Nisah Haron, Salina Ibrahim dan Uthaya Sankar SB sering menjadi persoalan.

Suatu ketika dahulu, MPR dilihat sebagai platform yang mampu melahirkan penulis-penulis muda yang membanggakan dan ia dilihat sebagai program yang amat mengesankan dan berjaya. Namun, cahaya kegemilangan penulis-penulis produk MPR generasi baru saban tahun dilihat seakan hampir malap. Amat sukar menemukan penulis-penulis MPR generasi baru yang aktif berkarya.

Namun tidak dinafikan, masih ada sebilangan penulis produk MPR generasi baru yang masih berbisa kepengarangannya, seperti Siti Hajar Mohd Zaki, Muhammad Lutfi Ishak, Mohd Jimadie Shah Othman, Salman Sulaiman, Wan Nor Al-Tasnim Saad, Fahd Razy, Khairul Nizam Raub, Ida Munira Abu Bakar, Nimoiz T.Y dan yang terbaru Nor Ashikin, Abdul Rauf Baharuddin, Ukuza, Amir Mukhriz dan Ammar Gazali.

Namun bilangannya sangat sedikit dan ini dilihat sebagai suatu fenomena yang kurang sihat. Amat merugikan setelah peserta-peserta MPR diberi pendedahan tentang pelbagai perkara yang menyentuh soal penulisan dan sastera, selain dibimbing dan berpeluang bertemu dengan penulis-penulis tersohor termasuk Sasterawan Negara, mereka masih tidak mahu menulis.

Apakah faktor utama yang mendorong kepada masalah ini?

Saya berani menyatakan bahawa kebanyakan mantan MPR generasi baru yang masih menulis hingga kini adalah penulis-penulis yang mempunyai sikap dan jati diri kepengarangan yang kukuh. Kebanyakan daripada mereka ini sudahpun mempunyai kesedaran dan minat yang mendalam terhadap dunia penulisan sebelum menyertai sebarang bengkel lagi.

Sikap yang betul. Itu faktor terpenting yang mendorong kepada kesinambungan karya mereka. Bengkel dan apa jua program penulisan hanyalah bertindak sebagai pemudah cara, pembimbing, dan pembuka jalan, selain memberi pendedahan yang sejernihnya terhadap penulisan dan sastera. Selebihnya, ia bertitik-tolak atas sikap, keinginan dan kesungguhan penulis itu sendiri. Itu sangat saya percaya.

Buat kawan-kawan dan adik-adik yang bakal menyertai Minggu Penulis Remaja ke-19 pada tahun ini, semoga anda tidak hanya menjadi pembawa jenama MPR yang sia-sia, tetapi berjaya menggunakan segala ilmu dan pengalaman yang anda perolehi sepanjang MPR nanti untuk berjaya lahir sebagai penulis yang berkualiti, cemerlang dan berperibadi tinggi. Insya Allah.


***********

MPR Lagi!!

Tengah hari tadi saya terima dua SMS. Satu daripada adik saya, Shaafiqah dan satu lagi daripada seorang teman yang saya kenali di Temu Sastera IPT, Khairun Nasriah (Nasa Natrah). Kedua-duanya berjaya ke Minggu Penulis Remaja 2005.

Agak mengejutkan juga Shaafiqah terpilih ke MPR. Agaknya Kak Salina ambil nama dia daripada Majalah Fokus Februari yang menyiarkan cerpen sulungnya bertajuk Laluan Impian. Saya pernah menyatakan hasrat kepadanya untuk mencadangkan namanya ke MPR, namun dia menolak. Alih-alih, pagi tadi terima panggilan telefon dari DBP. Hehe. Keputusannya? Masih atas pagar. Pergi atau tidak, saya serahkan bulat-bulat kepada budi bicara tuan empunya diri.

Buat Nas, Tahniah! Semoga lepas ni, lebih giat dan bersemangat untuk menulis!



(Ghafirah : Manisnya mengenang MPR 04)

No comments:

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <