Monday, May 23, 2005

SALJU JABAL MUSA


Lebih kurang setahun yang lalu, cadangan untuk menghimpunkan karya penulis-penulis muda yang bergiat dalam laman sastera, esastera.com ke dalam sebuah antologi telah disuarakan oleh Drirwan (founder esastera.com). Cadangan ini turut mendapat sokongan sahabat-sahabat penulis di sana.

Justeru saya beserta empat sahabat penulis- Amiza Khusyri Yusof, Fahd Razy, Ida Munira Abu Bakar dan Nimoiz T.Y telah bersetuju untuk menghimpunkan cerpen-cerpen kami ke dalam sebuah antologi cerpen.

Pada permulaannya, proses menyiapkan antologi cerpen ini berjalan dengan lancar dan teratur. Bermula dengan menghimpunkan 15 cerpen (1 penulis 3 cerpen), pemilihan tajuk antologi, lukisan kulit buku, sehinggalah kepada pembacaan dan penyemakan pruf, segala-galanya kelihatan mudah dan lancar. Jua tatkala Sdr. Faisal Tehrani bersetuju untuk menulis kata pengantar antologi ini dari Turki, kami sangkakan hasrat kami untuk melihat Salju Jabal Musa (SJM) diterbitkan pada tahun 2004 akan tercapai.

Namun benarlah, kita merancang dan Allah jua merancang. Dan tentunya perancangan Allah itu nyata lebih hebat.

SJM tergendala sebentar prosesnya kerana masalah kewangan. Namun demi merealisasikan jua hasrat kami, kami sekali lagi bermusyawwarah dan akhirnya mendapat kata putus agar antologi ini diterbitkan pada tahun ini walau apa jua halangannya.

Proses menerbitkan SJM diteruskan selepas itu dan masih mengekalkan perancangan asal. Namun terdapat beberapa perubahan cerpen dan ia melibatkan percetakan semula pruf. Pembacaan pruf telah dilaksanakan oleh saya dan Drirwan.

Dan Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan daripada penerbit (Esastera Enterprise), keluarga dan sahabat-sahabat, SJM bakal dilancarkan pada 10 Jun 2005 ini di Hotel Perdana, Kota Bharu.

Sememangnya kami harus mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Drirwan yang bertungkus-lumus menolong kami dalam menerbitkan antologi cerpen ini. Tidak lupa kepada Abang Faisal yang sudi menitipkan kata pengantar untuk kami, budak-budak penulis ini. Jua terima kasih buat Sdr Wan Zuhairi Wan Zainuddin (Wanzu- alwancomics.com) yang sudi menjadi pelukis untuk kulit SJM, Jazakumullahu khairan kasira buat para sifu, para editor, keluarga dan sekalian sahabat yang bersama-sama membantu dan menyokong penulisan kami selama ini. Terima kasih dan hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya.



************


Berikut ialah maklumat lanjut berkenaan Majlis Pelancaran dan Diskusi Novel Hostel: Debaran Kedua dan Salju Jabal Musa, beserta Majlis Baca Puisi pada 10 Jun 2005 di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim :

Portal sastera di talian, eSastera.com terus merancakkan dunia sastera tanahair dengan pelbagai program dan aktiviti yang tidak hanya berlangsung secara maya, tetapi juga turut menemui khalayak secara langsung.

Terbaharu, eSastera.com akan menganjurkan program Bicara Karya & Malam Baca Puisi eSastera.com di Kota Bharu, Kelantan. Program berkenaan akan diadakan pada 10 Jun ini bertempat di Hotel Perdana, Kota Bharu adalah merupakan program hasil kerjasama eSastera.com dengan Kerajan Negeri Kelantan dan juga Dewan Bahasa & Pustaka.

Program ini terbahagi kepada dua sesi bermula jam 2 petang hingga 11 malam. Pada sesi pertama (2 petang hingga 5 petang) merupakan majlis pelancaran dan diskusi karya-karya penulis eSastera.com iaitu novel Hostel : Debaran Kedua dan antologi cerpen Salju Jabal Musa. Panel yang akan membicarakan teks novel berkenaan ialah Sasterawan Negara Prof. Dr. S. Othman Kelantan dan Prof. Madya Dr. Mohammad Mokhtar Abu Hassan (UM). Manakala bagi antologi cerpen pula akan didiskusikan oleh Sasterawan Negara Dato (Dr) A. Samad Said dan Mohammad Daud Mohammad (DBP). Majlis berkenaan dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka yang baru, Prof. Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Manakala pada sebelah malamnya pula iaitu untuk sesi kedua, akan berlangsung Malam Baca Puisi eSastera.com. Majlis berkenaan akan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 9.00 malam. Majlis berkenaan yang akan diadakan dalam bentuk makan malam sambil dihidangkan dengan persembahan-persembahan berupa deklamasi sajak, nyanyian lagu puisi, teater monolog, persembahan sajak siber, dan juga dikir puisi. Beberapa deklamator terkenal akan turut terlibat dalam persembahan ini termasuk dari komuniti esastera.com seperti Sasterawan Negara Dato (Dr) A. Samad Said, Sasterawan Negara Prof. Dr. S. Othman Kelantan, Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas (Irwan Abu Bakar), Dr. Victor A. Pogadev, Anual Bakri Haron (AnBakri), Abdul Halim Karim (AhKarim), Shamsul Zakaria (Airmas_SZ), Khairunnasriah Abdul Salam (Nasa Natrah), Wan Nur Ilyani Wan Abu Bakar (Kablam_22), deklamator dari Persatuan Penulis Kelantan serta pasukan dikir barat MPKB.


ATUR CARA

Sesi 1, Jam 2.00 petang

Majlis Bicara Karya. Perasmi: Wakil DBP.

1) Diskusi e-novel Hostel: Debaran Kedua. Diskusi oleh SN S. Othman Kelantan dan Wakil DBP.

2) Diskusi antologi cerpen Salju Jabal Musa. Diskusi oleh SN A. Samad Said dan Muhammad Daud Muhammad (DBP).

Sesi 2, Jam 9.00 malam

Majlis baca puisi yang melibatkan SN A.Samad Said dan S. Othman Kelantan sebagai deklamator jemputan khas. Perasmi: YAB Menteri Besar Kelantan.

*****************

Saya, Ida Munira dan Nimoiz T.Y akan berada di majlis pelancaran Salju Jabal Musa pada 10 Jun nanti. Sahabat-sahabat yang berkelapangan dijemput hadir ke majlis berkenaan. Sebarang pertanyaan, maklumat lanjut dan juga pengesahan kehadiran boleh dibuat melalui setiausaha program, Sdr Mohd. Dahri Zakaria (012-370 6051) atau Dr Irwan Abu Bakar (019-268 0086) atau melalui e-mail : deewaqaf@yahoo.com sebelum 28 Mei 2005.


Untuk tempahan Salju Jabal Musa, boleh menghubungi kami di alamat emel saljujabalmusa@yahoo.com. Terima kasih.

No comments:

Menukang Arca Hikmah

ASMAUL HUSNA

AL WAQTU KAS SAIF

...MENGHITUNG HARI...

About Me

Pelajar Ijazah Sarjana (Usuluddin dan Pemikiran Islam) UIAM. Boleh dihubungi di ghafirah_idris@yahoo.com dan ym: ghafirahidris

HIWAR

Followers

> Pengunjung <