MENGENANG NYANG (1919-24 Disember 2005)
Dia sudah kembali ke sisi Kekasihnya, kembali bertemu Pencipta Teragung. Semalam, lebih kurang jam 1 pagi, saya menerima mesej daripada mak-Nyang sudah kembali ke Rahmatullah pukul 11 malam tadi. Saya yang baru hendak melelapkan mata, terus menelefon mak. Suara mak kedengaran tersekat-sekat. Ada seakan sebak di hujung getar suaranya. Maklum, walaupun dia hanyalah seorang cucu buat Nyang, tapi Nyanglah yang memeliharanya sedari kecil hinggalah mak menjadi suri hidup abah seawal usia 22 tahun. Malah, dia memanggilnya MAK. Tentu, ia menjadi semakin sukar untuk mak melepaskan Nyang pergi.
Nyang meninggal kerana sakit tua. Atau lebih tepat-paru-parunya sudah gagal berfungsi. Pernah, dia dimasukkan ke hospital dan ketika itu, kata doktor, mereka sudah tidak mampu melakukan apa-apa lagi kerana andai dibedah, peluang untuk hidup amatlah tipis bagi insan berumur 86 tahun. Tuhan Maha Kuasa, Nyang kembali ceria selepas itu serta mampu keluar mencabut rumput dan menanam pokok bunga yang memang menjadi hobinya sejak dulu lagi.
Dan semalam, tanpa sebarang petanda, Tuhan menjemputnya pulang.
Saya dan angah di UIA serta adik saya, Shafiqah di Darul Quran, tidak sempat pulang menatap wajah Nyang buat kali terakhir. Kata tokwan, jenazah ibunya itu bakal disimpan pada pukul 11 pagi hari ini.
Tentunya, ada babak-babak kenangan yang cepat menerpa ke memori saya ketika mak menyampaikan berita sayu itu. Hangat tangan Nyang masih terasa ketika saya bersalaman dengannya sebelum berangkat ke sini beberapa minggu yang lalu. Malah dia sempat bertanyakan bila saya akan habis belajar dan sambil berseloroh dia berkata-Kalau 2 tahun lagi along nak habis mengaji, tak sempatlah Nyang nak tgk cicit menantu sulung. Dan saya cepat-cepat berkata sambil tersenyum-Sempatlah Nyang. Insya Allah, sempat. Dan benarlah. Mungkin ketika itu, Nyang memang sudah tahu dia akan pergi.
Pemergian Nyang adalah suatu kehilangan besar. Dia selalu saya akrabi dan saya sangat senang mendengar cerita-cerita zaman perang yang kerap dikisahkannya kepada saya terutamanya ketika zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Pernah dia bercerita, ketika Jepun mengganas dan membunuh bangsa Cina dengan sekejam-kejamnya, Nyang hampir-hampir membunuh tokwan. Katanya, dia membuat suatu lubang di bawah rumah dan menyembunyikan tokwan saya di dalam lubang tersebut lalu menimbusnya dengan tanah. Nyang bimbang Jepun akan membunuh anaknya kerana tokwan saya berkulit cerah seperti Cina.
Nyang insan yang pernah merasa pahit getir perang. Dia tahu makna sebenar perjuangan menentang Jepun, British, Komunis dan dialah perasa hakikat kemerdekaan.
Tentunya, kehilangan insan-insan yang pernah melalui zaman rusuh dan kacau bilau ini, bagi saya, turut menjadi suatu kerugian besar kepada sejarah. Mereka kaya dengan pengalaman, mereka adalah sumber lisan sejarah. Dan sungguh! Ia semacam menjadi suatu kerugian dan kekesalan yang amat besar buat saya kerana gagal mencungkil sebanyak-banyaknya pengalaman Nyang ketika melalui zaman perjuangan itu. Alangkah!
Buat Nyang, Lat binti Saad-semoga Nyang bersemadi dengan aman dan ditempatkan bersama-sama golongan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah.